Positif Covid-19, Aliff Iskandar makin pulih
Penyanyi Aliff Iskandar berkongsi khabar gembira apabila
dirinya semakin sihat setelah positif Covid-19 kira-kira seminggu yang lalu.
Dia yang kini sedang berada di pusat kuarantin di MAEPS Serdang, bagaimanapun
masih perlu menjalani beberapa prosedur sebelum dibenarkan keluar sedikit masa
lagi.
Mula mengadu demam dan tidak sedap badan sejak 28 April yang
lalu, Aliff tidak menunggu lama untuk melalukan ujian calitan di sebuah klinik
swasta pada keesokan harinya sebelum disahkan positif sehari kemudian.
“Memang saya alami demam panas, sesak nafas, batuk dan sakit
kepala pada waktu itu. Saya pengsan tiga kali di rumah. Tapi saya tak tunggu
lama dan terus melalukan ujian calitan memandangkan keadaan tersebut tidak
pernah dialami sebelum ini.
“Bila dapat sahaja keputusan, klinik tersebut terus
memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan saya “dijemput”
ambulans malam itu juga untuk dikuarantin di MAEPS Sedang,” penyanyi baharu itu
lagi.
Dalam pada itu, Aliff berkata rakan serumahnya juga sudah
melakukan ujian calitan dan mereka didapati positif seminggu kemudian. Manakala
pihak pengurusan tempatnya belajar juga sudah melakukan beberapa saringan untuk
mengenal pasti kontak rapat.
Dalam pada itu, Aliff menyatakan yang dirinya sudah semakin
sihat daripada wabak berkenaan. Gejala demam dan batuk yang dialaminya juga
sudah pulih dan dia hanya menunggu masa untuk keluar daripada tempat tersebut.
“Memang keadaan saya agak lemah pada peringkat awal. Tapi
beberapa hari kemudian semuanya semakin baik dan saya dapat rasakan perubahan
itu. Saya beruntung kerana tidak mengalami komplikasi yang serius seperti
segelintir orang.
“Di sini saya diberikan layanan baik dan kami sama-sama
membuat pelbagai aktiviti seperti mana yang disarankan oleh petugas kesihatan.
Jangan takut, semuanya akan baik-baik sahaja,” tambahannya lagi.
Pun begitu, sehingga ke hari ini dia sendiri tidak
mengetahui punca bagaimana dia dijangkiti Covid-19.
Menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran untuknya
berhati-hati pada masa hadapan, Aliff memohon maaf kepada semua kenalan dan
kontak rapatnya yang terpaksa melakukan kuarantin kendiri setelah dirinya
disahkan positif.
“Saya minta maaf kerana menyusahkan rakan-rakan yang lain.
Tidak ada siapa mahu menerima dugaan sebegini tapi saya reda. Ramai yang
menitipkan doa dan kata-kata semangat terutamanya keluarga dan sahabat yang
sudah mengetahui perkara ini.
“Untuk mereka yang berada di luar sana, jaga diri, jaga
jarak dan ikut SOP yang ditetapkan. Kalau kita jaga diri, insya-Allah semuanya
akan baik-baik sahaja,” katanya yang baru sahaja melancarkan lagu Sedar Ku
bersama Syahmi Irfan, Syafiq Naser dan Killa Driz sempena Ramadan.
Untuk rekod, Aliff merupakan artis naungan Indigital Music yang popular dengan lagu
Perit. Lagu tersebut juga menjadi runut bunyi lima buah drama popular tanah
air.
Comments
Post a Comment