‘Aku Budak Boy’ Neon Band bakal saingi kejayaan lagu ‘Aku Budak Girl’ Suekhaizhar!
Lagu ‘Aku Budak Girl’ daripada bintang Tik Tok,
Suekhaizhar telah menjadi antara lagu paling popular tahun ini dengan
pencapaian video #1 paling trending di YouTube untuk satu tempoh yang panjang
dan jumlah tontonan video lirik lagu tersebut sebanyak 3.8 juta setakat ini!
Kini, band pop rock meningkat naik Neon Band bakal menyaingi kejayaan lagu ‘Aku
Budak Girl’ dengan versi rock baru yang ‘catchy’ berjudul ‘Aku Budak Boy’.
Selain mengenengahkan susunan muzik yang baru, lagu ‘Aku Budak Boy’ turut
menampilkan penyanyi baru Neon Band bernama Boy yang merupakan bekas peserta
program ‘Suara Viral’ (SR) yang ditayangkan di saluran Astro Prima tahun lalu.
Keputusan vokalis lama Neon Band, Ezwan Ariff
yang melancarkan single solo berjudul ‘Misteri’ sejak Disember tahun lalu
menimbulkan tanda tanya apakah dia sudah meninggalkan kumpulan itu. Kini,
selepas tujuh bulan single solo Ezwan dilancarkan, persoalan itu terjawab
apabila posisi Ezwan diisi penyanyi baharu, Boy.
Bermakna pembabitan Boy, 33, atau nama
sebenarnya Mohd Firdhaus Mahadzir melengkapkan ‘line up’ baru Neon Band
yang turut dianggotai Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard),
Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar).
Menurut Boy, penyertaannya dalam Neon Band
adalah secara tidak sengaja selain menyifatkan dia lebih cenderung bergerak
bersama kumpulan berbanding secara solo.
“Selepas tamat program SV saya ada berjumpa Abang Lan Adlie.
Ketika itu, dia mahu carikan saya single solo. Saya okay saja. Sudah ada
beberapa lagu tapi berasakan tidak kena dengan jiwa saya. Saya pula kalau boleh
memang nak bersama sebuah kumpulan. Jadi, dia pun menyokong hasrat saya itu.
“Kebetulan sebelum masuk SV, saya memang terlibat
dengan sebuah band. Namun, bukan rezeki kami untuk bersama. Kemudian Abang Lan
minta saya cuba cari band yang lain. Kebetulan berjumpa dengan Neon Band dan
kami pun ‘jamming’ bersama. Ketika itu, saya tahu mereka sudah ada vokalis yang
terlibat dengan projek solo.
“Dari situ, kami cuba buat lagu sendiri. Tapi, pelancaran lagu ciptaan sendiri ini
kami tangguh dulu. Kami fikir
daripada tidak buat apa-apa, baik cuba rakaman nyanyian semula atau ‘cover version’.
Ketika kami persembahkan ‘cover version’ lagu Aku Budak Girl, Abang Lan cukup
tertarik dan minta kami buat susunan muzik baru agar berbeza dengan lagu ‘Aku
Budak Girl’,” katanya.
Bertitik tolak dari situ, lagu nyanyian semula ‘Aku Budak Boy’ yang
diinspirasikan daripada lagu ‘Aku Budak Girl’ nyanyian Suekhaizhar dipertaruhkan
sebagai single pengenalan Neon Band bersama penyanyi baru yang diterbitkan Nova
Music.
Sekali gus, lagu yang mendapat sentuhan susunan
muzik daripada Neon Band itu sendiri memberi nafas baharu kepada muzik mereka
sebelum ini.
“Macam dikatakan, single pertama Neon
Band bersama saya sebagai vokalis baru sepatutnya dilancarkan selepas sambutan
hari raya lalu. Tapi, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
3.0 kami tidak sempat buat video muzik. Itulah yang membuatkan kami terpaksa
tangguh dulu pelancaran single terebut.
“Jadi, pihak pengurusan Nova Music nak ketengahkan lagu Aku Budak Boy ini
sebagai single pertama kami. Lagi pun Neon Band sudah lama tak keluar lagu baru.
Jadi, nak gunakan fenomena lagu asal ini untuk kemunculan semula kami dan dalam
masa sama memperkenalkan saya selaku vokalis baharu Neon Band.
“Kiranya, single Aku Budak Boy yang baru dilancarkan ini sangat berbeza dengan
muzik Neon Band yang dikeluarkan sebelum ini. Malah, lagu baru yang
ditangguhkan itu pun tidak sama. Dalam erti kata lain, lagu Aku Budak Boy ini
memberi nafas baharu kepada muzik Neon Band sekali gus mampu menarik lebih
ramai pendengar muzik tempatan. Harapnya, peminat boleh terima ‘wajah’ baharu
Neon Band ini,” katanya.
Menariknya, Boy berkata lagu ‘Aku Budak Boy’ itu adalah balasan kepada lagu
‘Aku Budak Girl’ yang mana liriknya lebih berunsur positif dengan memberi
semangat kepada ‘Girl’ dan penyanyi Suekhaizhar yang mendapat kecaman warganet.
“Lirik asal lagu ini ada bahagian yang ditukar. Seperti semua tahu, lagu
asal ini terkenal dan tular, tapi banyak juga dikecam dan dikeji. Jadi, lirik lagu Aku Budak Boy ini adalah balas
balik kepada lirik lagu Aku Budak Girl yang
memberi semangat pada ‘Girl’ dan penyanyi itu. Orang kata, semangat Boy pada Girl,”
katanya.
Ditanya tidakkah dia dan Neon Band bimbang jika dikatakan menumpang
populariti lagu lain, Boy mewakili kumpulan itu mengakui masing-masing akan
mendapat ‘keuntungan’ dan kelebihan.
“Bagi saya dalam bidang muzik kena bijak untuk buat keputusan. Sebagai
contoh, kalau kami keluar lagu lain ketika saya pula masih baru pasti lebih
sukar untuk mendapat tempat. Jadi, apa boleh dikatakan kami memang menumpang populariti
lagu yang viral ini, tapi secara positif.
“Kami membawakan lagu ini dengan versi tersendiri yang memberikannya nafas
baharu. Kalau lagu asal orang kecam, saya yakin untuk versi Aku Budak Boy ini
orang akan suka. Malah, tanggapan mereka terhadap lagu ini pasti berubah. Sebenarnya
kami nak bagi orang dengar kekuatan lagu ini. Secara tidak langsung, menerusi
lagu Aku Budak Boy, lebih ramai orang lagi akan mendengar lagu Aku Budak Girl.
“Ramai cakap lagu ini mudah, tapi tak sebenarnya. Kami ambil masa dua hari untuk
siapkan proses rakaman lagu ini,” katanya.
Antara lagu yang pernah dihasilkan Neon Band sebelum ini dan berjaya
diterima peminat adalah ‘Cinta Yang Telah Mati’, ‘Hingga Akhir Nanti’, ‘Kaca’
dan ‘Jiwa’.
Lagu ‘Aku Budak Boy’ terbitan Nova Music telah dilancarkan hari Jumaat lalu
dan kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik. Video muzik lagu ‘Aku
Budak Boy’ juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan
ini.
Comments
Post a Comment