Amir Masdi beri semangat harungi cabaran masakini
Kemunculan penyanyi Amir Masdi buat pertama
kali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) yang lalu membuka mata ramai
pihak akan kemampuan sebenar dirinya.
Malah, sejak itu juga Amir, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan
Masdi terus menjadi perhatian selain berjaya mengumpul peminat baharu.
Apatah lagi genre muzik yang dibawa iaitu ‘modern rock’ dianggap cukup
kena dengan mutu vokal hebat beliau dan mampu menjadi identiti diri dalam
kerjaya nyanyiannya.
Yakin dengan genre muzik yang menjadi pilihan, Amir yang popular
menerusi lagu ‘Puas’, ‘Kau Sakiti’ dan ‘Asmara’ muncul dengan buah tangan
terbaharu, iaitu lagu ‘Esok’ hasil ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir sendiri.
Lagu bergenre ‘modern rock’ terbitan syarikat
rakaman Nova Music itu sudah dirakam sejak awal tahun ini lagi.
“Lirik lagu ini mengikut konsep dan idea
daripada saya sendiri. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan
diri dan memberi semangat. Sebab sekarang semua orang berada dalam suasana
suram akibat pandemik yang berpanjangan.
“Jadi, menerusi lirik lagu ini saya nak pujuk
hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan dia yang menulis
liriknya. Saya pula tidak begitu mahir dalam penulisan lirik lagu, itu sebab saya
minta tolong dia.
“Lagu Esok sudah disiapkan sejak awal tahun
ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single
terbaharu. Malah, ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih
‘up beat’. Tapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk
lancarkan lagu Esok dulu,” katanya.
Menurut Amir, genre muzik yang diketengahkan
itu sudah menjadi ‘trademark’ muzik yang dbawa beliau selain ia juga sudah
dekat di hati peminatnya.
“Genre muzik ini saya tetapkan sebab berasa hala
tuju muzik saya orang sudah mula kenal dan terima. Peminat sudah tahu saya
penyanyi genre ini. Dalam masa sama, saya memang meminati genre sebegini.
“Kalau lagu berentak perlahan pun macam ‘slow
ballad’, saya tambah elemen bersesuaian untuk menjadikan ia lebih ke arah
‘modern rock’. Macam lagu Esok ini, pada asalnya nak piano saja, tapi apabila
fikir balik ia tak berapa kuat dan menark. Jadi saya kembali ke perancangan
asal,” katanya.
Amir juga mengakui, pembabitannya pada pentas
AJL 35 berjaya menonjolkan bakat nyanyian dimiliki.
“Bagi saya AJL membuatkan saya dapat peminat
baru. Sejak itu juga, orang sudah mula mahu lebih mengenali siapa itu Amir Masdi.
Diakui sejak dari dulu lagi saya sentiasa bekerja keras dalam kerjaya. Saya
tanam diri tekad untuk tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai.
“Sebagai contoh, sekalipun dah berjaya memasuki
AJL, tidak bermakna saya perlu berehat kerana sudah berada di pentas itu.
Sebaliknya, saya perlu terus berusaha dan tingkatkan lagi pencapaian di masa
hadapan. Walaupun sudah masuk AJL, kalau boleh selepas ini saya berazam nak
menang pula.
“Dalam masa sama, saya mahu sentiasa ada
peningkatan dalam kerjaya agar terus bertahan dalam industri. Disebabkan itu,
saya akan terus berusaha dan memajukan diri,” katanya.
Berkongsi mengenai imej dibawa, Amir berkata
dia selesa dengan imej sedemikian iaitu berambut panjang.
“Ada yang tegur kerana ada perubahan ketara dan
nampak lebih rock. Mungkin sebab penampilan dan rambut. Ini akan menjadi imej tetap
saya dan saya selesa dengan imej ini. Ramai yang bersetuju juga.
“Malah, secara peribadi saya melihat imej ini paling
sesuai untuk saya. Pada masa akan datang, tak pasti lagi. Kalau jumpa idea
baru, ia akan bertukar. Tapi untuk sekarang saya akan kekal dengan imej ini. Saya
okay dan gembira,” katanya.
Lagu ‘Esok’ terbitan Nova Music bakal dilancarkan pada 27 Ogos ‘21 dan boleh mula distrim
di semua platform muzik digital pada hari tersebut.
Comments
Post a Comment