“MALAYSIA DI HATIKU” GABUNGAN YONNYBOII, KMY KMO, LUCA SICKTA & TABBY
Hampir dua tahun
bergelut dengan pandemik COVID-19 ternyata kobar semangat kenegaraan rakyat
Malaysia dalam pelbagai aspek dan sudut tetap jitu, membara serta terus
disemarakkan terutama pada bulan kemerdekaan ini.
Benar bagai ada
hikmah di sebalik musibah semua ini. Lihat saja bagaimana kempen kibarkan
bendera putih menjadi bukti bahawa rakyat begitu peka dan empati dengan
kesulitan sesetengah masyarakat meneruskan kelangsungan hidup.
Lalu bagi
meraikan kecintaan terhadap negara biarpun akur dengan ujian bersilih ganti,
empat artis tanah air, Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan anggota Dolla, Tabby
bersatu menghadiahkan sebuah karya patriotik segar sekali gus menyuntik
semangat kekitaan menerusi lagu MALAYSIA DI HATIKU.
Lagu terbitan
Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan,
Pique, Acap Salim selain Kmy dan Luca akan dilancarkan pada 16 Ogos ini.
Antara bait
menarik lirik lagu ini berbunyi, 'sentiasa di dalam jiwaku, kan ku pertahan
sepenuh jiwaku Malaysia" bagai sebuah metafora apa saja terjadi, kasih dan
cinta terhadap negara ini tetap tiada tara.
Kmy atau nama
sebenarnya Lukmanul Hakim optimis karya baru ini akan menjadi pilihan terbaru
masyarakat pelbagai lapisan umur dalam menyemarakkan rasa cintakan negara.
"Memang
rata rata semua daripada kita bergelut saat ini. Namun kehidupan tetap harus
dilalui walau bagaimana cara atau solusi pun. Semoga kehadiran lagu dengan
sentuhan moden, klasik, 'catchy' dan 'hype' ini akan terus meniup motivasi dan
semangat buat kita semua.”
"Paling
utama kita takkan menggadai dan melacurkan negara ini untuk apa tujuan pun.
Semoga lagu ini dapat terus menjadi semboyan semangat dan nadi perpaduan buat
rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.”
"Harapnya
juga lagu ini dapat menjadi 'national anthem' baru buat kita semua. Saya bangga
dapat bergandingan dengan Luca, Yonnyboii dan Tabby kerana ia seperti sebuah
kolaborasi adik beradik," kata Kmy.
Menyentuh
mengenai proses rakaman, Luca yang juga gandingan duo serasi Kmy berkata
cabaran merakamkan lagu secara berasingan kerana keterbatasan dan sekatan
pergerakan perjalanan bukanlah sesuatu yang mudah.
"Kami
masing masing merakamkan lagu sekitar Jun ke Julai lalu secara berasingan
ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Ada yang merakamkan
bahagian suara masing masing di rumah. Macam saya dan Kmy pula di studio
rakaman. Namun prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga.”
"Segala
galanya juga dipermudahkan. Kerjasama ini juga jadi mudah kerana saya sendiri
sudah tahu cara kerja Kmy, Yonnyboii dan Tabby. Keserasian itu sudah ada dan
terus dipupuk. Fakta menarik ini juga lagu pertama yang saya nyanyikan bahagian
rap tanpa bertindak sebagai penerbit. Kebiasaan saya menerbitkan lagu dan
menyanyikan rap sekali harung," katanya.
Kata Luca atau
nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin, karya berkenaan disifatkan lain
dari lain.
"Lagu ini
sudah ada 'feel' dan rasa ketika diperdengarkan. Jadi proses penulisan lirik
jadi ringkas dan senang. Saya sendiri secara peribadi menggemari lagu ini.
Malah suka dengan hasil akhirnya," katanya
Sementara itu,
Yonnyboii atau nama penuhnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin menyifatkan
karya berkenaan sangat unik sekalipun bernuansakan patriotik.
"Saya
menjangkakan lagu ini berpotensi menjadi lagu merdeka pilihan baru. Saya mahu
jika sudah di usia 30 atau 40 tahun kelak dan berkahwin, harapnya bakal anak
nanti boleh menyanyikan lagu ini di sekolahnya," katanya.
Penyanyi lagu
Salahku ini mengakui berdepan sedikit cabaran saat merakamkan karya berkenaan.
"Bahagian
mencabar saya ialah untuk menyanyi korus dan perlu disuai padankan dengan vokal
Tabby yang tinggi. Agak bergelut juga untuk meneruskan proses rakaman itu.”
"Jadi
solusinya vokal saya terpaksa diturunkan 'key' untuk mengimbangi suara Tabby.
Tapi lucunya apabila siap hasil akhirnya, rasa macam 'best' pula mendengarkan
kombinasi suara kami berempat.”
"Pendek
kata, padanan suara kami saling melengkapi. Lagu ini memang menarik dan bagai
ada lapisan elemen yang cukup mengujakan," katanya.
Bagi Tabby yang
menjadi sekuntum bunga dan penyeri untuk kolaborasi ini berkata peluang
berkenaan sudah lama dinantikan.
Tabby atau nama
penuhnya Tabitha Ariel Lam berkata, pembabitannya disifatkan cukup bermakna
biarpun projek ini tidak membabitkannya bersama anggota Dolla.
"Saya
secara peribadi sudah lama menantikan peluang menyanyikan lagu bergenre
kenegaraan atau berwajah Malaysia.
Paling utama saya boleh katakan kehadiran lagu ini umpama tiupan
semangat yang cuba dibangkitkan untuk rakyat Malaysia saat bergelut di era
pandemik ini.”
"Apa
terjadi, kita tetap akan menang di pengakhirannya. Moga ujian berat ini akan
cepat pergi dan kita terus bersatu. Malaysia kekal di hati sampai bila bila.
Jangan ada anasir atau apa saja ujian boleh memisahkan semangat cintakan negara
itu.”
"Pastinya
pengalaman bekerja dengan Kmy, Luca dan Yonnyboii sesuatu yang amat berharga.
Mereka sendiri umpama senior dan abang serta diketahui dengan bakat hebat.
Siapa tak bangga bersatu dengan mereka dalam lagu yang penuh dengan emosi dan
sentuhan genre muzik. Daripada moden hingga tradisional, seni muzik itu tak ada
sempadan," katanya.
Tabby menambah,
proses rakaman video muzik juga sudah dilakukan juga secara berasingan akibat
kekangan situasi semasa. Video muzik rasmi MALAYSIA DI HATIKU yang bakal
ditayangkan pada hari Malaysia bulan hadapan adalah kolaborasi antara Samsung Malaysia
Electronics dan Universal Music Malaysia dengan tujuan mengumpulkan semua
rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam masa-masa yang mencabar ini.
Di samping itu,
Samsung Malaysia Electronics juga akan mengendalikan kempen “hashtag challenge”
#MalaysiaDiHatiku di pelantar video berdurasi pendek, TikTok, sebagai salah
satu inisiatif untuk membolehkan rakyat Malaysia bangkit dan menyebarkan semangat
positif sesama mereka semasa sambutan peringkat nasional ini. Mari sertai
kempen #MalaysiaDiHatiku bermula 20 Ogos 2021 ini!
"Seronok
dapat sekali lagi bekerjasama dengan penaja jenama telefon bimbit dan pengeluar
peranti elektronik konsumer Samsung untuk video muzik lagu ini. Masing masing
melakukan rakaman video muzik di rumah. 'Vibe' dan aura rakaman video tetap
mengujakan biarpun sedikit terbatas. Kita bawakan set dan mood diingini terus
ke rumah dalam usaha menghidupkan semangat lagu ini," katanya Tabby sambil
memberitahu Dolla pernah bekerjasma dengan jenama berkenaan sebelum ini.
MALAYSIA
DI HATIKU boleh didengarkan di kesemua pelantar penstriman digital
mulai 16 Ogos jam 12 tengah malam manakala lirik videonya pula boleh ditonton
di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada hari yang sama.
Comments
Post a Comment