SEKUEL KEDUA DRAMA ‘SAGA 2.0’ TAMPIL PLOT SERBA BAHARU
Kesinambungan kisah aksi mantap
yang sarat dengan pengajaran menerusi empat buah episod istimewa di Astro Ria
mulai 18 Ogos ini
Drama mini bersiri ‘SAGA 2.0’ merupakan sekuel kepada
bahagian pertama naskhah ‘SAGA’ yang menampilkan penceritaan penuh aksi bertemakan
elemen pertarungan seni bela diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) terbitan
syarikat produksi MediaCorp TV Singapore Pte. Ltd. Kesinambungan bahagian
kedua bakal mengetengahkan konflik dan plot twist serba baharu yang
dikembangkan daripada edisi pertama bagi menyuntik kelainan segar untuk naratif
kisah kali ini.
Sekuel ‘SAGA 2.0’ diarahkan
oleh sutradara Khairudin Samsudin serta turut menampilkan Azizah A
Malik selaku penerbit eksekutif dan Azian Pasiran selaku penulis
skrip. Drama ‘SAGA 2.0’ diterajui oleh pelakon handalan seperti Imam Shah,
Jeff Catz, Hasnul Rahmat, Hannah Delisha dan Shah Iskandar. Lebih
istimewa lagi, drama ini turut diserikan dengan penampilan khas oleh bintang
atlet MMA iaitu Amir Khan dan Agilan
Thani.
‘SAGA 2.0’ bakal bersiaran
pada setiap hari Isnin hingga Khamis,
jam 11.00 malam mulai 18 Ogos 2021 secara
eksklusif di saluran Astro Ria HD (104)
dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Raqim Ahmad,
Naib
Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro
“Selaku stesen TV berbayar, kami bertanggungjawab
untuk memenuhi permintaan audiens yang sentiasa mahukan pengisian segar yang
lari dari kelaziman. Khusus buat penggemar rantaian drama Melayu, taruhan
terbaharu kami menerusi drama mini aksi ‘SAGA’ bahagian pertama yang berakhir
semalam pastinya telah meninggalkan rasa berbeza kepada penonton.
Sehubungan dengan itu, kami dengan berbesar hati membawakan
pula sekuel kedua secara ‘back-to-back’ istimewa buat penonton yang telah
mengikuti kisah ini sedari awal.
Drama ‘SAGA 2.0’ bakal
menjanjikan konflik yang lebih dramatik dan mendebarkan. Walaupun hadir dengan plot
penceritaan serba baharu, momentum perjalanan cerita asal masih dikekalkan agar
audiens dapat menyelami apa yang ingin disampaikan dalam bahagian kedua. Elemen
yang membabitkan aksi lawan penuh lasak pastinya bakal memberi keterujaan
kepada penonton yang mahu menyaksikan gaya pertarungan seterusnya. Penceritaan drama
‘SAGA 2.0’ juga mudah difahami serta turut disuntik dengan elemen kekeluargaan dan
pengajaran sebagai pelembut keseluruhan jalan cerita.
Selain pengenalan
watak-watak baharu untuk menghidupkan plot kali ini, fokus penceritaan kali ini
juga terarah kepada pembinaan watak ‘Zack’ dari musim pertama yang dikembangkan
menjadi lebih besar dengan jalan ceritanya yang tersendiri. Kami berharap agar
sekuel kedua drama ‘SAGA’ dapat memberi kepuasan kepada peminat
genre aksi kerana ia bukan sahaja menghiburkan, malah turut mempunyai kritikan sosial
berhubung dengan isu konflik yang diketengahkan. Semoga terhibur!”.
Berkisarkan
tentang Zack yang menghadapi masalah hubungan dengan ayahnya, Borhan, seorang
guru silat. Hubungan mereka menjadi genting apabila Borhan mendapat tahu Zack
terlibat dalam MMA. Malangnya, anak dan ayah tidak sedar siapa musuh mereka
sebenar. Musuh mereka adalah orang kepercayaan Zack iaitu Ryan dan murid setia
Borhan, Farouk. Konflik mereka meruncing apabila Ryan dan Farouk berjaya
memutarbelitkan keadaan. Mujur, teman wanita Zack, Sofea berjaya mendedahkan
kebenaran.
Comments
Post a Comment