AMIRA OTHMAN TAMPIL DENGAN SURAT AKHIR DAN TRAGEDI


 

Pelantun Lagu ‘Surat Akhir’ Kini Muncul Dengan Single Terbaharu Tragedi (OST Drama Bersiri Seram ‘Malaysian Ghost Stories’)


etelah muncul dengan lagu ‘Surat Akhir’ pada awal tahun ini, Nadira Amira Othman yang mesra dengan panggilan Amira Othman kini mengeluarkan sebuah lagi buah tangan terbaru khas buat peminat melalui lagu ‘Tragedi’. Lagu Tragedi telah dipilih

menjadi runut bunyi utama (OST) bagi drama bersiri terbitan Astro yang berjudul ‘Malaysian Ghost Stories’.

Drama bersiri bergenre seram itu mula ditayangkan pada 25 Ogos pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 11 malam dan akan bersiaran selama 48 episod yang turut menampilkan pelakon ternama seperti Ara Johari, Janna Nick, Zahiril Adzim dan ramai lagi.

Menurut Amira, lagu tragedi telah mula dihasilkan sejak tahun 2011 lagi. Namun pada ketika itu, beliau belum berkecimpung sebagai seorang penyanyi professional. “Sebenarnya lagu ini telah dicipta sebelum saya menyertai AF lagi dan ketika itu saya berangan-angan untuk menjadi seorang penyanyi. Melodinya mendapat sentuhan istimewa komposer yang disegani iaitu Sharon Paul, manakala liriknya adalah nukilan saya sendiri,” kata Amira.

Amira yang popular menerusi fenomena sebuah drama bersiri bertajuk ‘Abang Bomba I Love You’ suatu ketika dahulu merasakan rezekinya datang mencurah-curah walaupun dalam keadaan pandemik di mana semua orang terkesan. “Alhamdulillah rezeki tak pernah salah alamat. Setelah hampir dua tahun tak muncul dengan mana-mana single dan sembuh sepenuhnya daripada kecederaan otot sebelum ini, kini saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerjaya seni saya.

“Baru hanya 3 bulan single Surat Akhir dilancarkan, saya menerima panggilan daripada tuan pengarah Izuan Mokhtar yang menyatakan keinginan beliau dalam menggunakan lagu saya sebagai OST Malaysian Ghost Stories,” katanya.

Single ini menceritakan tentang kisah sedih dalam percintaan apabila kehilangan orang yang tersayang ibarat sebuah Tragedi.

“Rakaman asal lagu ini pada tahun 2011 terpaksa dirombak semula kerana tona vokal yang berbeza. Jadi, pihak pengurusan mencadangkan agar ia diolah semula pada bulan yang Mei lalu. Proses rakaman tidak mengambil masa yang lama kerana saya sudah menghafal lagu tersebut, lebih-lebih lagi ia adalah lagu pertama ciptaan saya sejak menceburi industri nyanyian dan ia mempunyai nilai sentimental yang tersendiri,” katanya.

Amira mula mengorak langkah sebagai anak seni sejurus menyertai program realiti Akademi Fantasi (AF) musim ke-10 pada tahun 2013. Namun single ‘Hati-hati’ yang melonjakkan nama beliau sebagai seorang penyanyi mainstream sekaligus membuka lebih banyak peluang dalam bidang seni.

“Saya akui saya seorang yang sangat cerewet apabila menghasilkan sesebuah karya. Namun saya belajar daripada kesilapan lalu dan tak akan mengambil tempoh yang lama untuk mencari material yang seterusnya,” katanya.

Menurut Jipie, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment pula, “Amira adalah seorang penyanyi yang wajar dijadikan contoh kerana imej bersih yang ditonjolkannya. Selain itu, beliau juga mempunyai kemahiran menulis lirik yang baik dan sentiasa bekerja keras, lebih-lebih lagi beliau amat teliti dengan produk yang beliau ingin hasilkan. 

“Saya berharap agar single Tragedi mendapat perhatian ramai tambahan pula ia telah dipilih sebagai OST Malaysian Ghost Stories yang pastinya mempunyai peminat yang tersendiri. 

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka ruang buat Amira menjadi duta produk dan melakukan pelbagai aktiviti di rumah.

“Sepanjang tempoh PKP, banyak perkara yang dapat saya lakukan di rumah. Namun begitu, dikala dunia sedang diuji dengan pandemik COVID-19, saya menyeru agar kita juga sentiasa menolong satu sama lain dan rajin-rajinlah menghubungi keluarga, kawan-kawan atau sesiapa saja yang mengalami mungkin kemurungan. Kerana dengan bersilaturahim dapat mengekalkan ukhwah sesama kita, In shaa Allah.

Akhir kata, semoga semua peminat muzik tempatan yang mendengar single Tragedi dapat menerimanya dengan baik dan menjadi viral. Saya juga berharap agar nama saya terus kekal relevan dalam industri muzik Malaysia,” katanya.

Lagu ‘Tragedi’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi di seluruh negara serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala video muzik lirik single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

Konsert Hitam Manis,Datuk Hattan, Hazama dan Black berpadu suara!