DRAMA ‘THE HOTEL’ BERI PERSPEKTIF LAIN ISU KESIHATAN MENTAL

 



Konflik cinta pembunuh psikopat dan pembohong patologi dalam naskhah terbaharu di slot Megadrama Astro Ria

Drama rantaian ‘The Hotel’ ialah sebuah naskhah asal yang mengangkat tentang isu kesihatan mental terbitan syarikat produksi Juida Viden Sdn. Bhd. Penceritaan drama 24 episod yang menyuntik elemen konflik cinta romantik penuh misteri dan manipulasi yang menyentuh hati sebagai plot utama ini bakal menghiasi slot Megadrama bagi menggantikan drama Hawa.

 

Idea asal drama ‘The Hotel’ diilhamkan oleh penerbit dan pengarah prolifik, Michael Ang serta turut mendapat sentuhan Helmi Yusof yang memikul tanggungjawab selaku pengarah untuk drama ini. Manakala panel skrip pula dibarisi oleh Nadia Khan, Rahim Ramli, Qawiem Hamizan dan Michelle Yoon.

 

Drama ‘The Hotel’ turut diserikan dengan kehadiran nama-nama popular seperti Mira Filzah, MK K-Clique, Sean Lee, Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Farah Ahmad, Daler Yusof, Alif Hadi serta ramai lagi.

 

‘The Hotel’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 15 September 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

 

Raqim Ahmad,

Naib Presiden  Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro

“Sejak kebelakangan ini, isu kesihatan mental yang dulu dianggap tabu sudah semakin kerap dibicarakan secara terbuka menerusi pelbagai lambakan berita dan perkongsian di laman sosial.

 

Isu berkaitan gangguan mental tidak boleh dipandang remeh atau cuma dianggap sebagai isu bermusim kerana ia mampu mengancam kualiti kehidupan seseorang. Realitinya, masalah tersebut boleh dihidapi sesiapa sahaja dan sukar dikesan melalui penampilan luaran semata-mata.

 

Menyedari tahap keseriusan isu tersebut, tema kesihatan mental diangkat menerusi drama terbaharu ‘The Hotel’ untuk membuka mata audiens mengenai impak dan betapa bahayanya gangguan yang berkaitan dengan mental sekiranya tidak diberikan rawatan yang betul.

 

Kami berharap mesej yang disampaikan menerusi naskhah ini dapat membantu mengubah stigma dan diskriminasi sosial terhadap mereka yang sedang berjuang dengan masalah mental. Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita perlu lebih cakna dan berusaha memahami situasi sukar mereka demi kesejahteraan bersama.

 

Syabas saya ucapkan kepada pihak produksi kerana berjaya memberi perspektif berbeza mengenai isu ini dengan pendekatan yang kreatif dan menghiburkan. Semoga anda terhibur dengan penceritaan kali ini.”  

 

Michael Ang, Penerbit ‘THE HOTEL’

“Perbincangan untuk menerbitkan naskhah ‘The Hotel’ dibuat ketika drama ‘Angkara Cinta’ untuk slot Tiara Astro Prima masih lagi dalam proses pembikinan. Kebetulan pada waktu itu jadual penggambaran banyak tergendala akibat perlaksanaan PKP.

 

Kekangan yang dihadapi sewaktu PKP akibat pandemik mencetuskan idea untuk membuat cerita yang hanya berkisar dalam sebuah hotel sahaja. Selalunya, ramai dalam kalangan yang berduit dan kaya tinggal di hotel. Idea asal tersebut kemudiannya diolah dan dikembangkan untuk memberi kelainan yang menghiburkan. Ramai orang berpendapat bahawa drama ini meniru konsep K-drama ‘Hotel De Luna’ dan ‘Penthouse’ namun andaian tersebut tidak benar sama sekali kerana naratif penceritaan ‘The Hotel’ amat berbeza kerana ia digarap berdasarkan situasi sewaktu kita berhadapan dengan PKP.

 

Genre yang diketengahkan menerusi drama ‘The Hotel’ ini merupakan ‘testing ground’ buat kami untuk melihat sejauh mana keterbukaan masyarakat dalam menerima konsep sebegini bagi drama Melayu. Selama ini mereka sering mendakwa bahawa penonton asyik disajikan dengan cerita orang kaya dan kisah cinta yang klise. Jadi, kami bawakan kisah ‘The Hotel’ yang mengangkat isu-isu tabu yang selama ini ibarat hanya sekadar disapu ke bawah karpet untuk memberi kelainan.

 

Daripada segi pemilihan MK K-Clique sebagai hero utama pula adalah hasil perbincangan bersama dengan pihak Astro yang mahukan wajah baharu dengan aura tersendiri untuk memberi kelainan. Walaupun pada awalnya nampak kekok dan masih banyak ilmu teknik lakonan yang perlu ditimba, namun saya kagum dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh MK dalam masa yang singkat. Saya juga gembira dengan ‘chemistry’ yang wujud di antara Mira dan MK dalam drama ini.

 

Semoga penceritaan ini dapat diterima baik oleh semua kerana kami sudahpun berusaha sebaik mungkin untuk menambat hati penonton.”

1.      Naskhah ‘The Hotel’ merupakan drama pertama yang menggandingkan Mira Filzah dan salah seorang anggota kumpulan hip hop popular yang berasal dari Sabah, MK K-Clique selaku teraju utama.

 

2.      Drama ‘The Hotel’ menyerlahkan sisi lakonan berbeza Mira Filzah yang menyahut cabaran membawakan watak Raisa, seorang pembunuh psikopat. Watak ini memerlukan Mira untuk membuat kajian yang mendalam tentang isu kesihatan mental bagi mendapatkan penjiwaan watak yang menyakinkan.

 

3.      Sekadar makluman, Mira juga tidak pernah menonton cerita ‘Hotel De Luna’ sebelum ini. Beliau hanya mula membuat carian mengenai drama tersebut setelah netizen mula mengaitkan drama ‘The Hotel’ dengan naskhah K-drama tersebut.

 

4.      Walaupun kerjaya utama rapper MK K-Clique lebih tertumpu pada bidang nyanyian, namun MK atau nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan sedia mencuba nasib sebagai pelakon buat pertama kali menerusi drama ‘The Hotel’. Dalam drama ini, MK melakonkan watak sebagai Sean, seorang pembohong patologi yang jatuh cinta dengan watak Raisa lakonan Mira.

 

5.      Walaupun ini merupakan lakonan pertama MK, beliau diberi kepercayaan untuk menerajui drama ‘The Hotel’. Sebagai pelakon yang lebih senior, Mira banyak membantu MK dengan berkongsi tip berkenaan teknik lakonan sewaktu di set sekaligus memudahkan urusan penggambaran.

 

6.      Sean Lee yang memegang watak sebagai Umar dalam drama ‘The Hotel’ juga berjaya menghidupkan watak seorang yang panas baran dengan berkesan. Sebelum ini, Sean sering menjayakan watak sebagai seorang ‘Mr Nice Guy’.

 

7.      Dalam masa yang sama, Datin Paduka Eina Azman juga pertama kali menyahut cabaran untuk menjayakan watak Julia, seorang janda kaya yang suka menggoda menerusi drama ‘The Hotel’.

 

8.      Lagu ‘Sebelum’ dendangan K-Clique turut dimuatkan sebagai lagu tema untuk drama ‘The Hotel’.


PELAKON UTAMA

MK K-CLIQUE sebagai Sean

MIRA FILZAH sebagai Raisa

SEAN LEE sebagai Umar

NATASHA ELYZZA sebagai Umaira

 

PELAKON PEMBANTU

FARAH AHMAD sebagai Sharifah Hanisa

DATIN PADUKA EINA AZMAN sebagai Julia

YASMIN HANI sebagai Maya

DALER YUSUF sebagai Razul Ilyas

NABIL AQIL sebagai Arman

AZHAR AMIR sebagai Syed Jamaluddin

ASHA MERICAN sebagai Marsha

KU FARIDAH sebagai Miss Ros

ALIF HADI sebagai Tengku Arif

AMIR NAFIS sebagai Tengku Adam

 

Drama ‘The Hotel’ mengisahkan tentang Raisa, seorang gadis yang tinggal bersama ibunya, Maya yang memiliki salah sebuah empayar perniagaan terbesar di negara ini. Hidup dalam kemewahan, Raisa sebenarnya mempunyai sifat psikopat yang mana dia sukar memahami emosi dan segala tindak-tanduknya berdasarkan kehendak semata-mata sehingga dia mampu untuk membunuh. Sean muncul sebagai penghuni baru di hotel mewah di kediaman Raisa. Walaupun seusia dengan Raisa, Sean mengakui yang dirinya pakar bedah dan ini amat dicurigai oleh Raisa kerana cerita Sean sentiasa berubah-ubah.

Apakah pengakhiran kisah cinta pembunuh psikopat, Raisa dan pembohong patologi, Sean? Adakah hubungan tersebut mampu bertahan walaupun salah seorang daripada mereka terlibat dengan kes pembunuhan? Sama-sama kita saksikan.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

Konsert Hitam Manis,Datuk Hattan, Hazama dan Black berpadu suara!