KISAH PERSAHABATAN URBAN METHOD DALAM DOMO ARIGATO Kumpulan Hip-Hop Popular Kembali Mengubati Kerinduan Peminat
Kumpulan Hip-Hop Urban Method mengejutkan peminat
dengan membuat kemunculan semula bersama sebuah lagu baharu yang berjudul Domo
Arigato. Lagu yang diberi judul dalam bahasa Jepun itu bukan sahaja sebagai
buah tangan Urban Method selepas sekian menyepi malah intipatinya juga menceritakan kenangan
manis 5 sahabat bersama.
Buat generasi kini yang mungkin tidak mengenali
mereka, Urban Method yang dianggotai Mahadhir Bin
Mohd Ismail,39,Mohd Munawir Bin Anuar,40,Hazairi Basha Bin Jamel Basha,39,
Muneer Khan Bin Nazir,37 dan Ahmad Sayuti bin Ibrahim, 39 sebelum ini
pernah mekar dengan lagu duet yang diberi nafas baharu, Wajah Rahsia Hati
bersama primadona negara, Ogy Datuk Ahmad Daud yang juga merupakan penyanyi
asal lagu tersebut.
Domo Arigato yang bermaksud terima kasih didedikasikan
sebagai sebuah penghargaan khas buat sahabat handai dan peminat-peminat Urban
Method yang sentiasa menyokong mereka sejak awal penubuhannya sehingga ke hari
ini. Menurut mereka, idea untuk membuat kemunculan semula ini tercetus setelah
ramai peminat meminta untuk mereka kembali selain mendapat sokongan daripada
rakan-rakan seangkatan.
Maka hari ini, impian tersebut akhirnya terlaksana
dengan Domo Arigato yang mencipta kenangannya tersendiri. Istimewanya juga,
lagu ini telah mendapat sentuhan
daripada penyanyi dan komposer Damian Mikhael, Alzy serta Urban Method sendiri
yang turut mencipta liriknya.
“Lagu ini
menceritakan mengenai reunion kami yang telah berkawan baik selama 16 tahun.
Domo Arigato bukan sahaja tentang kemunculan semula Urban Method, malah ia juga
mengimbau kembali tali persahabatan kami dan juga penghargaan buat peminat
“Terima kasih,
thank you mungkin dah biasa. Jadi kami memilih Domo Arigato untuk menunjukkan
kelainan yang ditampilkan kali ini dan juga ekspresikan penghargaan kami buat
semua” kata Mahadhir
Proses rakaman,
suntingan dan adunan yang mengambil masa selama tiga hari telah dilakukan di
Studio 360 Music Productions dan muzik pula diarahkan oleh Kamal Ridzuan.
“Tidak lengkap sekiranya Domo Arigato dilancarkan
tanpa muzik video. Di sebalik pembikinannya yang diarahkan oleh Kamal Ridzuan,
ia hanya mengambil masa selama 3 hari untuk disiapkan. Cuma penerbitannya telah
tertunda untuk beberapa ketika berikutan pandemik yang melanda negara” kata
Munawir pula
Ketika Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) mula diperkenalkan, banyak aktiviti-aktiviti seni
terpaksa dihentikan, malah ada diantara mereka yang mempunyai pekerjaan sendiri
turut terjejas. Namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk membuat
persiapan kemunculan semula.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada setiap ahli
Urban Method sendiri. Walaupun kami dah lama berjauhan, ada pekerjaan dan
keluarga sendiri namun kami punya hubungan seperti adik-beradik itu masih utuh.
“Masing-masing saling memberi sokongan dan kekuatan
persahabatan kami itulah membuatkan terjadinya kemunculan semula ini” tambah
Hazairi
Dalam pada itu,
Urban Method akui terkejut dengan perubahan di dalam industri muzik tanah air.
Jika dahulu, segala-galanya ditentukan menerusi penghasilan album namun kini ia
berubah seiring dengan kemajuan teknologi.
“Untuk kekal dalam industri bukannya mudah apatah lagi
jika dinilai dari segi populariti yang sedia maklum ada naik dan turunnya.
“Kami pun perlu mengikut peredaran masa dan kehendak
para pendengar. Jadi kami bersedia sekiranya ada penyanyi-penyanyi yang sudi
berkolaborasi dengan Urban Method kelak” kata Muneer
Biarpun begitu,
mereka bersyukur kerana rakan-rakan seperjuangan seperti Damian Mikhail, Nico G
dan Altimet banyak memberikan sokongan kepada mereka khususnya bagi kemunculan
semula ini.
“Kami masih lagi akan kekal dengan konsep hip-hop
R&B kerana itulah identiti Urban Method sebelum ini. Bermula dari
‘underground’ sehingga berjaya masuk ‘mainstream’ segalanya tidak akan terjadi
tanpa sokongan dari peminat dan rakan-rakan.
“Di kesempatan ini juga, kami ingin berterima kasih
kepada Nico G, Damian Mikhail dan Altimet yang banyak memberikan bantuan dan
tunjuk ajar buat Urban Method muncul kembali ke persada seni tanah air” kata
Sayuti
Di kesempatan itu, Urban Method meluahkan rasa syukur
dan berterima kasih kepada pihak media yang memberi sokongan penuh kepada
mereka. Tidak dilupakan, rakan penaja terdiri daripada Kopi Kawan-Kawan,
,Rlmenswear, Ibuanis dan Eartheories yang turut meraikan mereka pada hari ini.
Lagu ‘Domo Arigato’
boleh diperdengarkan melalui penstriman atas talian seperti Apple Music,
Spotify, Joox, YouTube Music bermula 31 Oktober 2021. Manakala video muzik lagu
Domo Arigato ini juga boleh ditonton
secara eksklusif di saluran YouTube Urban Method Music.
Comments
Post a Comment