ARMPUNK SINDICATE PAPAR ISU KESIHATAN MENTAL DALAM SETERU MU
Selepas dua tahun pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 membataskan kerja-kerja dan
aktiviti-aktiviti seni muzik Armpunk Sindicate, akhirnya band muzik punk rock
ini sudah bersedia untuk kembali aktif semula.
Dianggotai Zaid Nazim Zainal Abidin atau Zed selaku
vokalis, Muhamad Hameli Muhamad Yazid (Miely) - gitaris, Akmal Hakim Syed Abdul
Hamid (HK) - pemain bass dan Muhammad Elby Danial Mohd Suhaili (Elby) - pemain
dram, Armpunk Sindicate sudah pun menjayakan beberapa persembahan gig tapak
bebas yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.
Bahkan, band muzik yang berasal dari Ampang,
Selangor ini dan mula ditubuhkan pada tahun 2018 ini juga bakal meluncurkan
single baharu SETERU MU yang mengangkat isu mengenai masalah kesihatan
mental yang mana ia turut diinsipirasikan daripada kisah benar pemain bass
mereka, HK.
Menurut HK, masalah kesihatan mental yang
membelenggu dirinya bermula sewaktu dia melanjutkan pengajian di Amerika
Syarikat.
“Saya melanjutkan penganjian di sana pada 2013.
Perasaan rindu berjauhan dengan keluarga dan tanahair dan tugasan pengajian
yang bertimbun serta masalah-masalah lain yang membelenggu menyebabkan dia kerap
memendam rasa, lebih gemar menyendiri, kurang keyakinan diri serta tidak mampu untuk bangkit keluar dari
biliknya.
“Awalnya saya sendiri tidak merasai apa-apa. Saya
sendiri tidak menyedari bahawa saya mempunyai masalah anxiety. Tapi, apabila
keadaan diri saya berterusan begitu, saya terpaksa mendapatkan nasihat pakar
dan menjalani rawatan sekitar akhir 2014 atau awal 2015.
“Sehingga sekarang kesannya masih ada dan saya masih
lagi mendapatkan rawatan doktor cuma ia ia tidak seteruk dahulu dan cara saya
untuk mengalihkan masalah say aini adalah dengan bermain muzik,” katanya.
Pengalaman ‘benar’ yang dialami HK itu akhirnya
mencetuskan inspirasi buat band muzik Armpunk Syndicate ini untuk menghasilkan
lagu SETERU MU.
“Memang lagu ini tentang kisah diri saya. Tetapi,
pada waktu yang sama, saya tahu ada ramai lagi kawan-kawan saya dan masyarakat
di luar sana yang melalui keadaan ini.
“Misi kami terhadap lagu ini adalah untuk
membangkitkan semangat buat mereka supaya mereka tahu bahawa mereka bukan keseorang
dan dapat melalui hari-hari seterusnya dengan positif.
“Elakkan kesedihan dan jangan tunggu hingga sampai
ada masalah dan jangan tunggu sehingga ia mengacau kehidupan seharian anda,”
katanya lagi.
Ini bukanlah kali pertama Armpunk Sindicate tampil
dengan lagu-lagu yang bermesej. Pada tahun 2019, mereka pernah menghasilkan
single berjudul Dadah Durjana dan turut dilantik menjadi ikon World Drugs Free
Malaysia dan ia disusuli pula dengan lagu Satu Bendera yang mengangkat isu
tentang penyatuan dan perpaduan.
Seteru Mu yang merupakan ciptaan sepenuhnya
penggubah lagu Shamsul Cairel Abdul Karim ini bernuansakan muzik punk rock dan
memiliki tempo pantas, namun ia turut menguji vokal penyanyi Zed kerana perlu
membawakan lagu tersebut dengan persembahan vokal yang perlahan sebelum ia
melejit naik apabila muziknya semakin meningkat dinamik.
Sungguhpun lagu Seteru Mu ini bukan karya ciptaan
mereka, namun Elby menjelaskan, mereka turut terlibat sepenuhnya dalam penghasilan
dan susunan muzik lagu tersebut.
“Lagu ini kami rakamkan kira-kira tiga bulan yang lalu.
Waktu kami dapat demo lagu, bunyinya masih ‘raw’ dan cukup lain. Berbeza dengan
muziknya sekarang ini.
“Cabarannya adalah apabila kita perlukan memberikan
warna dan sentuhan Armpunk Syndicate di dalam lagu ini dan menjadikan ia
sebagai sebuah lagu punk rock.
“Tapi, kami juga dapat mendapat kebebasan daripada Shamsul
Cairel yang kami gelar sebagai Pak Long untuk menyiapkan muzik SETERU MU
ini. Kebetulan dia juga adalah penerit lagu kami.
“Ada juga idea kami yang dia tidak kerana pembikinan
lagu ini mengikut standard rakaman muzik yang betul. Jadi, kami juga banyak
belajar perkara baharu tentang kerja-kerja rakaman secara profesional daripada
Pak Long yang memang berpengalaman luas dalam bidang ini.
“Kami akui menghasilkan lagu sendiri lebih memberi
kepuasan tetapi membawakan lagu daripada komposer luar juga mempunyai kepuasan
sendiri terutama sekali apabila dapat membuat susunan muziknya mengikut acuan,
feel dan cara kami sendiri, kata Elby pula.
Seteru Mu adalah sebuah lagu utama yang bakal
dimuatkan di dalam EP pertama Armpunk Sindicate yang bakal berada di pasaran
pada 26 Mac ini. Muzik videonya bakal disiapkan sebelum EP ini berada di
pasaran.
Jelas HK, penghasilan muzik video ini agak menarik
kerana mereka turut mengundang aktor berkaliber Namron untuk membintangi muzik
video SETERU MU.
‘Kehadiran Namron sememangnya memberikan impak dan
elemen surprise di dalam muzik video ini dan kami turut menyelitkan elemen Gedebe
iaitu filem pertama yang pernah diarahkannya.
“Filem itu telah menjadi suatu cult dan sangat
bersesuaian pula apabila digabungkan dengan muzik video SETERU MU ini,”
katanya lagi.
EP tersebut mengandungi enam lagu yang mana tiga
daripadanya adalah lagu lama mereka iaitu iaitu 'Dadah Durjana', 'Satu Bendera'
dan 'Noisy Punk', manakala tiga lagu baharu pula terdiri daripada Selamat
Malam, Gula-Gula serta SETERU MU.
Jelas Elby lagi, 'Selamat Malam' yang
mengetengahkan nuansa muzik punk yang tipikal, ia bakal menyelitkan elemen
ragga rap yang akan dipersembahkan Jeff daripada kumpulan A To Z.
“Ini adalah sebuah kolaborasi yang saya kami kira
cukup menarik. Siapa yang tidak kenal dengan A To Z. Mereka adalah sebuah
kumpulan yang popular suatu masa dahulu.
Kami memang sangat terbuka untuk berkolaborasi
dengan sesiapa sahaja. Kalau bukan dalam lagu, kami berkolaborasi di dalam
persembahan,” katanya.
“Lagu ‘Selamat Malam’ ini juga bakal menjadi lagu
penutup kami dalam mana-mana persembahan yang akan datang.
“Sebelum ini kami sudah memiliki lagu pembukaan
iaitu ‘Noisy Punk’. Setiap kali memulakan persembahan, kami pasti akan
membawakan lagu itu. Jadi, selepas ini, kami sudah ada lagu penutup iaitu
‘Selamat Malam’ pula selepas ini.
“Bagi lagu 'Gula-Gula' pula yang berteraskan punk
ska, ia akan dilengkapi dengan bunyian horns. Ia adalah sebuah lagu protes yang
tidak keterlaluan,” katanya lagi.
Menurut HK lagi, mereka berharap banyak pihak yang
akan dapat membuka mata terhadap usaha yang mereka lakukan ini dalam
mengutarakan mesej-mesej positif dalam lagu-lagu mereka khususnya menerusi lagu
SETERU MU.
“Ada perancangan untuk kami berkolaborasi dengan
pihak NGO dan agensi kerajaan selepas ini dan kami harap apa yang kami lakukan
ini akan dapat membuka mata pihak media iaitu TV dan radio untuk memberikan
sokongan terhadap kami.
“Apa yang penting, kami mahu buktikan bahawa
sebagai sebuah band muzik punk, kami bukan sahaja mampu bermain apa jenis genre
muzik sekali pun tetapi juga kami mahu orang tahu bahawa punk itu tidak
semestinya negatif.
“Kami kira jenama kami, lagu-lagu kami dan fokus
dan tumpuan kami yang serius terhadap bidang muzik telah sedikit-sebanyak telah
pun membuktikannya,”katanya.
Penghasilkan EP mereka ini turut menggunakan
khidmat Shamsul Cairel yang bertindak selaku komposer dan produser.
Shamsul Cairel bukanlah nama yang baharu di dalam
industri muzik tanah air. Selain menghasilkan lagu-lagu untuk penyanyi, beliau
juga turut terlibat menghasilkan muzik skoring untuk filem-filem Melayu
tempatan.
Bahkan, beliau pernah memenangi anugerah Skor Asal
Terbaik untuk filem Waris Jari Hantu dalam Festival Filem Malaysia Ke-20
Penghasilan EP yang menggunakan Independent Music
Funding daripada CENDANA ini melibatkan penggunaan tiga studio iaitu One
Scream, Karya Enigma dan Funky Brigade.
Comments
Post a Comment