Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Dato' Adam Ilyas
Seperti yang ditegaskan sebelum ini, pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar etika kerja terutamanya yang melibatkan program-program terbitan kami kerana mereka seharusnya memahami amanah dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.
Merujuk kepada isu Azwan Ali yang menuntut baki bayaran untuk program MIC ON!, pihak Awesome TV memandang serius akan pertuduhan tersebut kerana pembayaran penuh untuk 10 minggu telahpun dibuat pada hari yang sama beliau digugurkan iaitu pada Selasa, 8 Mac 2022 walaupun beliau cuma melunaskan komitmen sebagai hos untuk tempoh 6 minggu sahaja. Surat pemberitahuan rasmi mengenai penamatan khidmat beliau juga telah dikeluarkan pada hari yang sama. Kami beranggapan isu bayaran untuk program MIC ON! sudahpun selesai dan tidak mahu memanjangkan lagi hal ini. Fokus utama kami sekarang adalah untuk menghabiskan program MIC ON! yang masih berbaki empat minggu lagi.
Dalam pada itu, pihak produksi juga turut merancang membawa masuk khidmat hos jemputan untuk digandingkan bersama hos sedia ada, Issey Fazlisham, bagi memeriahkan lagi konsert mingguan MIC ON! Nantikan pengumuman rasmi dalam jangka masa terdekat ini. MIC ON! bersiaran pada setiap hari Jumaat, 9.00 malam menerusi saluran Awesome TV di platform Astro 123 dan MyTV 112.
Comments
Post a Comment