MISI KEMANUSIAAN SYRIA CARE 13.0 DAN PEMAKLUMAN KERJASAMA BERSAMA ANUAR ZAIN
Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, Syria Care telah melancarkan Kempen Ramadan Al Khair 10.0 sejak Februari lalu. Semenjak konflik bersenjata meletus di Syria 11 tahun yang lalu, ia telah mengakibatkan lebih dari 6 juta rakyat Syria menjadi pelarian di dalam negara sendiri manakala lebih dari 4.4 juta darinya berada di bahagian utara negara itu. Jumlah pelarian yang ramai bersempit-sempit mendiami ribuan kawasan perkhemahan di kawasan tersebut menyebabkan pelbagai masalah
keselamatan, perlindungan, sosial, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan terutamanya jaminan bekalan makanan. Lokasi agihan kempen kali ini merangkumi 3 negara iaitu di Syria, Lubnan dan juga Turki. Kawasan agihan yang dipilih merupakan tempat yang mempunyai ramai pelarian Syria yang hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan. Justeru, dengan kehadiran Ramadan ini, Syria Care akan melaksanakan Misi Kemanusiaan kali ke 13 pada penghujung Mac ke 3 buah negara iaitu Turki, Syria dan Lubnan. Misi ini akan memakan masa selama 2 minggu. Selain urusan memantau projek
dapur Ramadan serta projek-projek Syria Care, proses agihan bantuan dan sumbangan juga akan turut dijalankan. Misi Kemanusiaan kali ini turut disokong oleh Anuar Zain yang mana beliau akan turut serta bagi melaksanakan misi bantuan di Lubnan. Ketika kali pertama Anuar ke pejabat Syria Care, mendengar sendiri perkongsian dari Puan Siti Sakinah serta dipertontonkan keadaan kehidupan pelarian di kem-kem, khususnya kanak-kanak, hatinya sangat tersentuh. “Kita harus lakukan sesuatu. Mereka ini golongan teraniaya. Doa mereka tiada hijab…” Kata Anuar Zain ketika itu, lantas bersetuju untuk
menyantuni pelarian Syria bersama Syria Care. “Syria Care akan melaksanakan misi kemanusiaan ke Turki seterusnya ke Syria dan Lubnan bagi melaksanakan agihan sempena Ramadan kali ini. Anuar Zain dijangka berangkat pada 11 April 2022 untuk bersama-sama melaksanakan misi kali ini. Kami berasa sangat terharu dan teruja melihat kesungguhan Anuar Zain untuk bersamasama kami, bagi menggerakkan usaha-usaha kemanusiaan ini. Malah Anuar bersedia untuk ‘turun padang’ bagi
memastikan usaha ini berjaya” ” ujar Siti Sakinah Meor Omar Baki, selaku Pengerusi dan Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care Sehubungan dengan kerjasama ini, adalah diharapkan lebih ramai sudi tampil membantu khususnya menaja set iftar serendah RM15 ataupun pek makanan kering bernilai RM150 bagi meringankan beban pelarian Syria sepanjang Ramadan ini. Sumbangan boleh disalurkan melalui link affiliate khas Anuar Zain iaitu : https://donate.syriacare.org.my/order/form/oderfood/anuarzain
Misi Kemanusiaan Syria Care juga adalah bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh penyumbang dilaksanakan dengan baik. Video dan gambar pelaksanaan agihan bantuan sepanjang bulan Ramadan akan dikongsikan kepada penyumbang melalui semua platfom media Syria Care sebagai manifestasi ketelusan pelaksanaan kempen ini.
Comments
Post a Comment