M.O.V.E Zee Rahmat untuk segera ‘move on’
Selepas berjaya menganjurkan program
realiti pertama secara dalam talian tahun lalu COF LOCKSTAR, syarikat rakaman
COF Music dengan bangganya memperkenalkan bintang ciptaan mereka juga juara
program itu, Zee Rahmat.
Zee Rahmat, 25, atau nama sebenarnya Zainab
Rahmat muncul dengan single pertama berjudul M.O.V.E hasil ciptaan Otromen,
Pown Hasril dan Nas yang dilancarkan secara rasmi pada 10 Mac lalu.
Menurut Zee, M.O.V.E adalah single
pertamanya juga hadiah kemenangan program itu sekaligus memberikan pengalaman
baharu buatnya merakamkan lagu di studio.
Menariknya, lagu berentak ‘pop dance’ itu
turut dihadirkan dengan video muzik rasmi yang dirakam dalam masa sehari.
“Memandangkan lagu ini saya dapat
semasa menjadi juara pertandingan COF LOCKSTAR dan perlu menyanyi secara
langsung pada waktu itu menyebabkan sesi rakaman menjadi sedikit rumit kerana
saya perlu biasakan diri dengan persekitaran yang lain.
“Tapi Alhamdulillah saya dapat
selesaikan rakaman dalam masa sehari. Persiapan untuk lagu M.O.V.E agak cepat
dan mencabar bagi saya kerana saya perlu menghafal melodi, lirik dan membuat
interpretasi lagu dalam masa tiga hari.
“Saya juga ada meminta nasihat guru
vokal saya iaitu Amri Zain dan saya turut dibantu kuat oleh komposer dan juga
penerbit untuk sama-sama menjadikan lagu M.O.V.E ini sempurna. Untuk muzik
video saya hanya dapat membuat kelas menari bersama koreografi saya sebanyak
dua kali dan terus buat rakaman muzik video. Alhamdulillah rakaman selesai
dalam masa satu hari di Lalaport, Kuala Lumpur. Seharian kami di sana dan
semuanya sempurna,” katanya.
Menurut Zee yang berasal dari Johor Bahru, kehadirannya
dalam bidang seni bukan sahaja untuk memeriahkan industri muzik tanah air, tapi
dia punya cita-cita tinggi agar bakat dimiliki mampu diterima baik.
Dalam masa sama, pastinya Zee mahu
memanfaatkan media sosial yang ada sebagai langkah mendekatkan diri dengan
peminat sekaligus memperkenalkan lagi lagu M.O.V.E pada khalayak.
“Sebagai artis baharu saya percaya
dengan bakat yang saya ada untuk sama-sama belajar dengan artis-artis lain
untuk memperjuangkan seni dan bersaing secara sihat. Setiap orang mempunyai
kelebihan dan aura yang tersendiri.
“Dari persiapan lagu keluar saya akan
sentiasa cuba untuk dilihat lebih aktif di media sosial. Saya perlu lebih
mendekatkan diri dan berinteraksi dengan pendengar. Begitu juga untuk buat
promosi yang sudah direncanakan oleh pasukan syarikat rakaman, kelab peminat
saya, Zilicious dan juga saya sendiri,” katanya.
Sebagai pendatang baharu dalam bidang
nyanyian, Zee mengakui banyak perkara perlu dipelajari selain harus
mempersiapkan diri dan bersedia dengan apa saja kemungkinan yang bakal berlaku.
Menyedari hakikat melangkah masuk ke dunia
glamor memerlukan kekuatan mental dan fizikal, Zee berkata dia sebolehnya mahu
bersikap tenang agar dapat mengawal segala keadaan menjadi lebih baik dan
tersusun.
“Kita sedia maklum industri hiburan
kita banyak yang positif dan juga negatif. Tapi apa yang boleh saya cuba adalah
saya perlu selalu persiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Apa yang
penting saya perlu tenang dan menjaga nama baik keluarga.
“Melihat perjalanan dalam dunia seni
ini, saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak berumur lapan tahun dengan
sokongan daripada keluarga dan juga sahabat. Saya akan sentiasa pastikan diri
saya untuk sentiasa buat yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan.
“Menang dalam pertandingan adalah
satu bonus bagi saya tapi di sebalik kemenangan itu adalah kesungguhan, jatuh
dan bangun yang perlu saya tempuh. Jadi saya tidak akan sia-siakan bakat dan minat
saya dalam muzik dan nyanyian,” katanya.
Dalam masa sama, Zee juga percaya
kuasa tular memberikan impak besar dalam diri dan kerjaya seseorang terutama
dalam bidang seni.
Bagaimanapun, Zee memilih secara
semula jadi untuk dikenali kerana yakin kualiti dimiliki lagu M.O.V.E itu dapat
menarik perhatian peminat muzik tempatan.
“Bagi saya tular ini memberikan impak
yang besar. Tetapi impaknya ada dua kebarangkalian iaitu positif atau negatif.
Kalau boleh untuk saya atau lagu saya dikenali, saya lebih memilih secara
‘natural’ tetapi saya pun tidak menolak ‘viral’.
“Cuma apa yang saya harapkan adalah
tular yang berimpak positif kepada diri saya sendiri dan juga masyarakat. Untuk pengetahuan, saya menceburi bidang
muzik ini adalah untuk menghiburkan orang ramai. Kalau ada perkara yang membawa
kepada impak negatif ataupun pergaduhan, saya tidak mahu seperti itu. Tetapi
apapun dua-dua saya tidak kisah, saya dan pasukan akan cuba sedaya upaya
usahakan.
“Kalau tular itu datang dan
memberikan impak positif, Alhamdulillah. Buat masa ini saya tidaklah membuat
satu gimik yang di luar kotak tapi lagu M.O.V.E ini saya buat ‘Dance Challenge
Move’ yang saya buat untuk hiburan semua,” katanya.
Berkongsi mengenai single M.O.V.E
itu, menurut Zee ia mengenai ‘move on’ yang mana ingin menyebarkan kesedaran kepada
semua orang tidak kisah lelaki ataupun perempuan untuk berfikir positif dan
maju ke hadapan sekiranya kita pernah jatuh dan berada di bawah.
“Lagu ini tidak spesifik kepada orang
yang putus cinta sahaja tetapi untuk semua golongan yang pernah ‘down’ dengan perhubungan,
‘toxic friends’, dan ‘haters’ yang penting kita perlu sentiasa ‘move’ dan ‘live
our life to the fullest’. Kita perlu ‘enjoy’ dengan apa yang kita ada sebab kita
tidak boleh puaskan hati semua orang kecuali diri kita. Sebab itulah lagu ini
diberi tajuk M.O.V.E.
“Harapan saya supaya lagu ini dapat
memenangi hati pendengar disebabkan lagu ini berbentuk ‘catchy’, ‘pop dance’
dan tajuk lagu ini adalah M.O.V.E. Jadi lagu ini adalah berkaitan dengan
perlunya seseorang untuk ‘move on’ terhadap sesuatu.
“Kita juga banyak mengharungi perkara
yang kurang baik sebelum ini seperti pandemik, banjir dan bencana alam jadi
‘let’s move to a new face, to a good vibe and to a positif vibe’. Jadi saya
mahu semua orang bergembira dan semua orang boleh melihat kesungguhan dengan apa
yang saya hasilkan ini. Akhir sekali, saya bersyukur jika saya ada peminat,”
katanya.
Comments
Post a Comment