SYAZWAN SYAHMI HADIR DENGAN ‘SALAHKAHKU’
Pendatang baharu yang juga merupakan juara
pertandingan nyanyian Penyanyi Top ERA
Kucate pada bulan Februari yang lalu, Syazwan
Syahmi hadir dengan single
perdananya yang berjudul ‘Salahkahku’
yang diterbitkan oleh label terkemuka Malaysia, Rocketfuel Entertainment.
“Syukur Alhamdulillah di atas kemenangan ini
kerana ia telah membuka ruang buat saya untuk tampil dengan single terbaharu di bawah naungan
Rocketfuel.
“Selain memenagi wang tunai berjumlah RM5,000,
sekaligus saya menerima kontrak rakaman bersama-sama Rocketfuel,” kata pemilik
nama sebenar Syazwan Syahmi Muhammad Rosdi.
Penyanyi muda berusia 23 tahun yang berasal dari
negeri Kelantan ini juga merupakan lulusan Diploma dalam bidang Ukur Bahan
(Quantity Surveyor).
“Saya sedar pentingnya pelajaran, oleh sebab itu
saya habiskan dahulu pendidikan diploma dan mencuba bidang nyanyian setelah
tamat pengajian.
“Minat menyanyi telah pun bermula ketika saya
berusia 14 tahun lagi dengan bermain gitar secara suka-suka. Tidak saya sangka,
minat tersebut beralih kepada nyanyian pula dan dari situlah timbulnya minat
yang mendalam dalam bidang tersebut.
“Saya sering menghasilkan nyanyian cover di YouTube dan menyertai pelbagai
pertandingan karaoke sehinggalah muncul sebagai juara Penyanyi Top ERA Kucate,”
jelas Syazwan.
Single Salahkahku
merupakan hasil ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul, dan juga penulis lirik
berbakat besar, Que Afiq yang menceritakan tentang kisah cinta yang sedih.
“Lagu ini bermaksud pertanyaan seseorang terhadap
dirinya sendiri kerana mencintai seseorang dan sering meragui apakah
tindakannya itu betul.
“Pernah tak kita berhadapan dengan situasi di
mana kita sering bertanya pada diri sendiri apakah salah menyintai seseorang?
Dan betulkah keputusan yang kita buat?
Proses rakaman yang memakan selama sehari di
Studio Musicwerks banyak memberi pengalaman baharu buat Syazwan.
“Saya seronok ketika berada di studio milik kak
Sharon kerana segala-segalanya masih baharu buat saya.
“Pengalaman merakamkan lagu sangat bermakna
apabila diselia oleh seorang komposer disegani kerana banyak perkara yang saya
pelajari daripada beliau, yalah perjalanan seni saya masih jauh, jadi banyak
lagi yang perlu saya timba,” kata Syazwan.
Lagu dalam nuansa balada ini mempunyai unsur rock
yang disesuaikan dengan vokal Syazwan yang mempunyai nada yang tinggi.
“Saya mahukan sebuah lagu yang mencerminkan jiwa
saya, saya hendak pendengar merasai emosi yang saya bawakan melalui nyanyian
saya. Jika nyanyian saya dapat membuat pendengar merasa sedih, itu sudah lebih
dari menggembirakan saya.
“Mungkin terlalu awal untuk saya labelkan jenis
penyanyi yang ingin saya jadi, namun saya tidak menolak untuk mencuba genre yang lain kerana dunia muzik itu
luas dan banyak cabangnya,” tambah Syazwan.
“Ini juga merupakan pengalaman baharu buat saya
merakamkan MV dan agak kekok rasanya beraksi di hadapan kamera berbanding
dengan rakaman YouTube yang sering saya buat sendiri,” kata Syazwan lagi.
Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel
Entertainment memberi komen, “Rocketfuel sering memberi peluang terhadap
bakat-bakat baharu untuk menyerlahkan kemampuan mereka serta menyediakan
platform bagi mereka untuk mengembagkan lagi bakat.
“Selain itu, Rocketfuel juga mempunyai pakar
pengurusan yang akan mengendalikan perjalanan kerjaya seni mereka, dan Syazwan
berada di landasan yang betul. Semoga lagu Salahkahku
memberi impak dan memperkenalkan namanya sebagai seorang penyanyi yang
berpotensi besar.
Akhiri Syazwan penuh pengharapan: “Saya hanya
berharap agar lagu ini bakal mendapat tempat di hati pendengar dan semoga ramai
penggemar muzik di luar sana dapat menerima agu ini.
Lagu ‘Salahkahku’
boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke
semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa
melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer,
Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single
ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.
Comments
Post a Comment