WAFIY LUPA ?
Kalau dahulu, wajah comelnya sering membuat kita
terhibur di kaca televisyen, kini, penyanyi, pelakon dan pengacara TV remaja
popular yang semakin kacak, anak kelahiran Beaufort, Sabah, Wafiy, tampil dengan sebuah single sulung di bawah naungan Rocketfuel Entertainment berjudul ‘LUPA’.
Mungkin ramai di luar sana lebih mengenali
pemilik nama sebenar Mohd Wafiy Ilhan Johan sebagai seorang pelakon kanak-kanak
berbakat yang kini sudah pun menginjak remaja menerusi pelbagai drama,
telefilem serta filem yang dibintanginya.
“Saya sebenarnya bermula sebagai penyanyi sewaktu
di awal pembabitan dalam industri hiburan sebagai salah seorang peserta Ceria
Popstar musim yang pertama pada tahun 2013, namun rezeki lebih dalam bidang
lakonan dengan tawaran yang mencurah-curah,” kata Wafiy.
Siapa sangka, artis yang berusia 19 tahun ini
sudah pun berkecimpung dalam bidang seni negara hampir sedekad lamanya.
“Selama ini saya hanya bergerak sendiri tanpa
mana-mana pihak pengurusan, kemudian di usia 19 tahun saya mengambil keputusan
untuk menyertai Astro semula di mana kerjaya nyanyian saya akan dikendalikan
oleh pihak Rocketfuel.
“Bercerita mengenai lagu LUPA, sebenarnya idea disebalik pembikinannya sudah pun bermula
sekitar 4 tahun yang lepas sehingga saya sendiri pun hampir terlupa tentang
kewujudannya,” jelas Wafiy sambil tertawa.
Single dalam genre pop ini adalah ciptaan komposer
dari negara seberang, Herdasyira sepenuhnya yang menceritakan tentang seorang
lelaki yang ditipu kekasihnya dan sukar baginya untuk melupakan bekas teman
wanitanya kerana hatinya disakiti.
“Walaupun lagu ini tentang kecurangan, saya tidak
mahu ‘memberatkan’ lagi maksudnya kerana melodinya yang santai dan bersahaja.
“Siapa yang tidak pernah ditipu bukan? Pasti akan
merasa ‘sakit hati’, namun kita sentiasa cuba untuk melupakan pengalaman
tersebut dan sentiasa berfikiran positif, selain hanya move on dengan kehidupan,” tambah Wafiy.
Proses rakaman single ini tidak memakan masa yang lama kerana Wafiy sudah pun
‘kenal’ dengan jalan ceritanya dan faham apa yang dimahukan komposer bagi
menghidupkan karya tersebut.
“Pada mulanya, tajuk lagu ini adalah ‘Minta
Ampun’ dan apabila dirombak semula kami bercadang untuk menukarnya kepada LUPA kerana lebih sesuai dengan jalan
cerita yang cuba disampaikan.
“Susunan muziknya juga turut diberi
penambahbaikan oleh pihak Rocketfuel agar seiring dengan trend masa kini.
“Lagu pop rancak ini mempunyai unsur muzik RNB
dengan elemen easy jazz yang santai
menambah mood ceria walaupun lagu ini
menceritakan tentang hati yang disakiti,” jelas Wafiy.
Selain itu, peminat Wafiy juga berpeluang
menonton video muzik (MV) LUPA
lakonannya dengan jalan cerita yang menarik mengangkat tema komedi dengan
elemen kejutan di penghujungnya.
“Saya seorang yang ringkas tetapi suka mencuba
sesuatu yang baharu, dan dari segi muzik pula saya mahu menjadi penyanyi
versatil yang tidak terikat pada mana-mana genre.
“Selain bidang nyanyian, saya juga gemarkan
bidang pengacaraan dan mahu meneroka bidang tersebut dengan lebih lagi serta
cuba memperbaiki mutu pengacaraan saya dari semasa ke semasa.
“Dan kejayaan yang saya kecapi pada hari ini
tidak mungkin terjadi sekiranya tiada sokongan dari keluarga sejak mula lagi,
merekalah tonggak kekuatan saya selama ini, selain peminat-peminat saya,” kata
Wafiy.
Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel
Entertainment berkata, “Walaupun masih muda, Wafiy adalah di antara artis
negara ini yang mempunyai potensi besar untuk pergi jauh.
“Bakat yang dimilikinya sedari kecil digilap
secara tidak sengaja melalui pengalamannya sepanjang berada dalam industri seni
nyata memberi keyakinan buat dirinya, dan dengan terlancarnya lagu LUPA ini dapat melonjakkan lagi nama
Wafiy.
Kongsi Wafiy menutup bicara, “Saya hanya mahukan
pendengar terhibur dengan karya ini kerana tiada maksud ‘berat’ yang tersirat,
semoga peminat saya semakin bertambah bukan sahaja di dalam negara bahkan di
Indonesia juga.
Lagu ‘LUPA’
boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke
semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa
melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer,
Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara
eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel
Network.
Comments
Post a Comment