Tak Terganti dedikasi Farahdhiya buat arwah ayah tercinta
Tidak dinafikan lagu Bertakhta Di Hati
memberikan impak besar terhadap kerjaya nyanyian penyanyi Farahdhiya. Malah,
lagu itu juga dianggap ‘berhantu’ kerana kekal menjadi siulan anak muda hingga
kini.
Biarpun Farahdhiya, 38, atau nama
sebenarnya Nur Farahdhiya Mohd Amin muncul dengan single baharu, ia
dikatakan masih tidak dapat menandingi kehebatan lagu itu. Disebabkan itu juga,
peminat sentiasa merindukan karya atau lagu balada yang menyentuh jiwa.
Terbaharu, Farahdhiya atau mesra disapa
Farah buat pertama kali sepanjang 18 tahun pembabitannya sebagai penyanyi dan
anak seni menghasilkan sendiri lagu, Tak Terganti yang disifatkan cukup dekat
di hati.
“Sebenarnya tahun ini ada juga keluar
dengan lagu duet dengan penyanyi baharu Korea. Tapi lagu itu bukan bergenre
balada, ia tak berapa nak menjadi sebab penyanyi pun balik Korea. Ramai
sebenarnya peminat saya yang menunggu dan selalu bertanya bila nak keluar lagu
balada macam Bertakhta Di Hati itu. Jadi, ini adalah lagu pertama yang saya
cipta sepanjang 18 tahun dalam industri ini.
“Sebelum ini tak pernah terfikir untuk
cipta lagu sendiri walaupun selalu ada yang bertanya. Saya tak nak buat sebab
lebih baik beri kepada mereka yang dah pakar. Tapi yang ini pun saya tak
rancang kerana melodi itu datang dengan sendirinya. Bila dah ada melodi saya
rasa macam sedap pula dan saya rasa kenapa tidak untuk buat lirik pula. Jadi
terhasillah lagu Tak Terganti ini.
“Lagu ini sangat istimewa buat saya
sebab pertama kali cipta lagu dan tulis lirik ditambah pula dengan genre
balada. Saya harap lagu ini dapat mengubat rindu peminat yang menunggu lagu
balada daripada saya,” katanya.
Menurut Farah, lagu Tak Terganti adalah
nukilan khas yang ditujukan buat arwah bapanya, Allahyarham Mohd Amin Zubir
yang meninggal dunia pada 2020.
“Pernah juga orang tanya untuk buat
lagu sendiri, tapi sepanjang 18 tahun itu tak pernah ada keinginan. Pada saya
tak apalah biar saya ambil kerja menyanyi saja. Tapi ini pun tak ada dalam
perancangan pun. Satu hari semasa menjalani penggambaran dalam fasa Covid-19,
saya duduk dalam satu hotel di Kuala Lumpur. Jadi, ada satu hari waktu sedang
mandi melodi itu tiba-tiba datang. Sebab itu melodi asal lagu ini ada bunyi air
sekali sebab masa itu sedang mandi. Bila keluar saya rasa sedih dan macam sedap.
“Kemudian, saya keluar untuk ambil
telefon. Saya menangis semasa mendendangkan melodi itu walaupun tak ada lirik
sebab rasa sayu teringat arwah ayah. Jadi disebabkan itu kenapa tidak saya
sambung saja lagu ini. Macam itulah terciptanya lagu ini.
“Setiap hari saya cuba mencari
perkataan yang betul untuk lirik ini berdasarkan perasaan saya terhadap ayah.
Memang mustahil untuk saya rangkumkan semua perasaan dalam satu lagu. Tapi ia
sedikit sebanyak apa yang dapat saya kongsikan. Sekurang-kurangnya ada juga
memori sebuah lagu yang saya pernah cipta. Ia memori yang sangat baik untuk
disimpan selamanya,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu Tak
Terganti yang turut menghiasi lagu tema drama Roti Cicah Susu yang ditayangkan
di Slot Mega Drama Astro, Farah berkata, ia dihasilkan awal tahun lalu dan siap
dirakam hujung tahun lalu.
“Untuk menyiapkan melodi itu saya rasa
tak sampai sebulan. Kemudian lirik dalam seminggu. Selepas itu, rakaman pada
hujung tahun lalu, cuma baru sekarang ia dilancarkan. Secara jujur saya tak ada
minta pandangan daripada mana-mana komposer.
“Cuma bila digabungkan kesemuanya saya
hantar kepada beberapa orang seperti pengurus
saya dan mereka semua suka. Dalam masa
sama, saya ada minta bantuan Rudy Nastia untuk membuat susunan semula lagu
ini,” katanya.
Farah berkata, lagu Tak Terganti juga
menjadi lagu yang paling lama dirakamkan sepanjang pembabitannya sebagai
penyanyi.
“Dalam 18 tahun merakam lagu, selalunya
saya ambil masa sekejap saja dalam dua jam dah selesai sebab saya seorang yang
cepat dalam studio. Tapi lagu ini makan masa paling lama dan susah untuk
disampaikan. Saya rasa dalam lima hingga enam jam juga tempoh rakaman.
“Sudah tentu bila menyanyikan lagu ini
sentiasa terbayangkan arwah ayah sebab setiap patah perkataan dalam lagu ini
ada kena mengena dengan dia. Jadi, apa yang dinyanyikan memang sentiasa
terbayangkan dia.
“Kepuasannya memang lain macam bila kita
rakam lagu yang segala-galanya dibuat sendiri. Memang lain rasanya daripada
menyanyikan lagu orang, itu tidak dinafikan. Saya sangat bangga dengan diri
sendiri sebab selama ini rasa macam tak boleh dan tak reti nak buat. Jadi bila
dah buat sendiri, sebenarnya boleh saja. Mungkin selepas ini akan ada lagi,
siapa tahu kan?” katanya.
Selain lagu yang dihasilkan sepenuhnya,
jalan cerita video muzik (MV) Tak Terganti juga adalah idea daripada Farah
sendiri.
“Muzik video ini pun jalan ceritanya
daripada saya. Sebab pasukan saya mencadangkan supaya teruskan untuk muzik
video pula alang-alang lagu adalah sepenuhnya hasil ciptaan saya. Jadi, memang
saya keluarkan semua jalan cerita untuk muzik video ini.
“Saya sangat teruja dan mengharapkan
peminat akan suka lagu ini. Saya mengharapkan juga sokongan daripada semua
orang. Orang yang pernah kehilangan bila dengar lagu ini dia akan dapat rasa
apa yang saya rasa. Tak kisah hilang mak ayah, suami atau isteri, adik-beradik
atau kawan itu semua adalah kehilangan. Jadi, harapan saya besar untuk lagu
ini,” katanya.
Comments
Post a Comment