ERRA FAZIRA DUTA CAPTAIN DOLPHIN
Pesona dan populariti pimadona Malaysia, Erra Fazira sekali lagi terbukti apabila pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal itu menjadi pilihan dan buruan pelbagai jenama produk dan perkhidmatan. Terbaru, pada hari ini bintang berusia 49 tahun itu disunting pula oleh pengeluar makanan ringan berasaskan jeli, Happy Alliance Sdn Bhd menerusi jenama Captain Dolphin sebagai duta dan wajah produk mereka berkuatkuasa 9 Januari 2023. Erra yang teruja dengan pelantikan selama dua tahun itu berkata, pemilihannya bagi jenama snek yang menjadi kegilaan kanak-kanak dan remaja itu adalah satu penghormatan bagi dirinya. “Saya tidak sangka selepas tiga dekad menceburi bidang seni, nama dan diri saya masih mendapat kepercayaan dan perhatian daripada pelbagai pihak termasuklah pengeluar produk dan pengiklan. “Saya harus berterima kasih kepada Happy Alliance atas kepercayaan mereka dan semestinya pengurusan saya,
MindOrder Management atas perancangan dan rundingan terbaik bagi pelantikan ini,” katanya pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta jenama itu di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini. Terdahulu, Erra pernah dilantik sebagai duta pelbagai jenama seperti Lux, Faith Fleur, Vanish dan Shieldtox. Pengarah Urusan Happy Alliance (M) Sdn Bhd berkata, pemilihan Erra Fazira adalah berlandaskan kepada nama, nilai dan aura bintang itu sebagai salah seorang bintang terkenal tanah air yang mempunyai personaliti, kerjaya dan pengaruh yang positif, disegani dan menyenangkan. “Sudah tentu kami berbesar hati kerana Erra sudi bersama keluarga Captain Dolphin. Saya sangat yakin kerjasama ini akan melonjakkan lagi jenama, populariti dan jualan kami di pasaran. “Saya juga melihat pelantikan Erra sebagai wajah Captain Dolphin ini akan memberikan impak, perhatian dan kesedaran yang lebih besar pada kami dan produk-produk kami,
” katanya. Mengenai Happy Alliance Sdn Bhd, syarikat FMCG yang diusahakan oleh Tan Seng Chon dan isterinya ditubuhkan pada 1996 dan sudah lebih 25 tahun beroperasi. Captain Dolphin adalah sebuah jenama di bawah syarikat Happy Alliance (M) Sdn. Bhd dengan kepakaran utama dalam penghasilan produk Nata De Coco. Bermula dengan perniagaan Nata De Coco, syarikat mempelbagaikan jenis produk seperti minuman, jeli, puding dan yang terbaru ialah konjac jeli Captain Dolphin. Konjac jeli Captain Dolphin yang dihasilkan dari akar tumbuhan konjac tampil dengan empat perisa buah-buahan iaitu laici, mangga, anggur dan pic. Produk-produk Captain Dolphin bukan hanya dipasarkan di dalam Malaysia, malah telah dieksport ke lebih 30 negara. Menggunakan teknologi Jerman, Happy Alliance juga membekalkan Nata De Coco sebagai peranti perubatan dan alat penyembuh luka
Comments
Post a Comment