MAMAN TEACHER’S PET LANCAR ALBUM TERBARU BERJUDUL AKU

 



Maman, bukanlah nama asing di persada muzik. Beliau adalah pengasas dan vokalis kumpulan rock, “Teacher’s Pet” (TP) yang digilai peminat pada era 1990an. Langkah besarnya di era tersebut turut menyaksikan Maman beraksi di dalam filem “Layar Lara”, di mana beliau juga menggalas tugas sebagai penyanyi, komposer, penerbit OST dan penata muzik filem. Maman yang diperkenalkan ke dalam dunia seni oleh Dato’ Ramli Sarip dan di bimbing pula oleh Dato’ Nasser Abu Kassem, akhirnya menjadi nama besar di arena seni. Imej, lagu dan suara Maman menjadi ikutan peminat seni di rantau ini. Walaupun Teacher’s Pet berpecah selepas album pertama, Maman tampil berani sebagai penyanyi solo. Namun, ketika tinggi dikemuncak, Maman tiba-tiba hilang dan sehingga kini kehilangannya menjadi misteri kepada penggiat seni dan peminatnya. Lebih 20 tahun beliau menyepi… Kini…Maman kembali. Kalau dulu Maman terkenal dengan gaya rambut yang menjadi ikutan, sekarang Maman kembali dengan imej yang berlainan…bersih, intelektual dan dewasa. Kepulangannya juga diiringi dengan album barunya yang berjudul “AKU”. Di dalam AKU, Maman menampilkan kematangannya di dalam berkarya. Kelainan nafas seninya ketara. Maman menghadiahkan kepada para peminatnya kehebatan “vocal-range” (jarak vokal) yang kuat, berani dan yakin. Bagaikan tidak dimamah usia, lagu-lagunya akan membuat pendengar hanyut di alam emosi dan cerita yang disampaikan. Lagu-lagu disusun rapi agar dapat menceritakan apa yang dilalui oleh Maman di dalam perjalanan seninya. Bagi yang merinduinya dan ingin mengetahui misteri kehilangannya, 7 buah lagu yang dipersembahkan mungkin akan memberi jawapannya. “Setiap garis kedutan di wajah saya membawa cerita hidup saya…” kata Maman. Sebagai anak seni yang sentiasa mencari kelainan, Maman kembali ke persada seni dengan menggabungkan muzik dan teknologi. Album “AKU” bakal menawarkan siri NFT (Non-Fungible Token) yang akan diberi nama “AKU - The Maman” (TMn) dan akan dilancarkan pada penghujung tahun ini, dengan kerjasama Pentas IO, iaitu sebuah pasaran NFT tempatan yang juga terbesar di rantau Asia Tenggara. Album “AKU” kini boleh didapati di platfom striming muzik Spotify, Apple Music, Joox dan lain-lain bermula pada 30 MEI 2023 yang lalu. Muzik video dan lagu-lagu dari album “AKU” akan dilancarkan dan akan diumumkan secara berperingkat. BIOGRAFI – MAMAN TEACHER’S PET Maman hanya mempunyai satu matlamat hidup iaitu untuk menjadi seorang penyanyi. Ketika itu, dia hanya mempunyai gitar buruk, bertali dua yang dijumpai ketika berumur 9 tahun, yang digunakan untuk berlatih menyanyi. “Scorpion” dan “Black Sabbath” adalah antara idolanya waktu itu. Setiap hari selepas sekolah Maman mencari kerja sampingan di studio rakaman sekitar Singapura untuk mendapat peluang menjadi penyanyi. Akhirnya pada usia 13 tahun, dia berpeluang menganggotai Kumpulan “The Flying Funeral” dan sempat merakamkan sebuah album. Namun, dia disingkirkan tidak lama kemudian kerana perubahan suaranya yang disebabkan “akhil baligh”. Tidak kecewa, Maman bertekad untuk terus mengejar cita-citanya. Dia berlatih setiap hari dan Amy Search dijadikan panduan untuk teknik menyanyi. Itulah latar belakang Maman yang tidak ramai tahu. Beberapa tahun kemudian, pada usia awal 20-an, Maman mengasaskan kumpulan Teacher’s Pet yang dianggotai oleh 3 pemuzik yang juga pencipta lagu. Ketiga-tiga mereka kemudian bertemu Shah Nazron, seorang komposer yang telah menghasilkan lagu “Warisan Wanita Terakhir” yang menjadi lagu yang menjulang nama Maman di arena muzik. Dato Ramli Sarip juga adalah di antara nama besar yang bertanggungjawap membuka jalan untuk Maman menjadi seorang artis rakaman. Akhirnya, di bawah bimbingan Dato Nasser Abu Kassim, Maman berjaya menaiki takhta muzik Malaysia, sebagai karyawan dan “rockstar” yang disegani. Beliau memenangi beberapa anugerah dan dicalonkan saban kali di dalam pertandingan berprestij di rantau ini. Di tengah kejayaan yang gilang-gemilang, Maman mengundurkan diri dari dunia muzik, selepas projek filem Layar Lara. Hanya dia yang benar-benar tahu apa yang menyebabkan dia membuat keputusan drastik di dalam hidupnya. Hari ini, Maman membuat keputusan untuk kembali ke dunia muzik yang disayanginya. Pada tahun 2022, dia mengasaskan syarikat rakaman “Meta Music Xtreme” (MMX) untuk menjadi label rakamannya dan untuk memayungkan pergerakannya di pentas seni. MMX dibina oleh Maman sebagai syarikat yang menggabungkan muzik dan teknologi. Teknologi Web 3.0 dan metaverse ialah percaturan Maman untuk memberi sumbangan yang bermakna di dalam industri muzik tanah air.

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM

Datin Alyah Duta TWOMEE