NAH Sophia Liana!

 


Membina jenamanya sendiri, Sophia Liana menjadi
satu-satunya rapper wanita yang telah ditandatangani di bawah Def Jam Malaysia
yang kini memaparkan bakatnya melalui lagu terbaharunya yang berjudul NAH.
Tidak dinafikan lagi, nama Sophia bukan lagi asing di persada seni hiburan tanah air.
Sophia mula bertapak di dalam muzik industri tempatan sejak 2015 menerusi
penampilannya bersama kumpulan De Fam, dan terus mengorak langkah sebaris
dengan penyanyi dan rapper sedia ada.


Ternyata percaturannya dengan cubaan bergerak solo pada 2018 selain ingin
mencabar diri membuahkan hasil. Semenjak itu, Sophia sudah berkolaborasi dengan
beberapa artis tempatan. Antaranya, Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, Budak
Ngam, Harith Zazman dan ramai lagi.


Lebih membanggakan juga apabila Sophia mula menggilap bakatnya dalam
penciptaan lagu. Malah, sejak lagu pertama Supergirls bersama De Fam, Sophia
sudah mula menulis lirik sendiri.


Terbaharu, Sophia, 33, atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri
muncul dengan single berjudul NAH yang juga hasil ciptaan oleh Sophia Liana
bersama dengan Navigator, Mambang dan Zizi Kirana.
Menurutnya, lagu NAH itu berkisar mengenai isu yang berlaku dalam di kalangan
masyarakat umum.


“Kalau kita tengok sekarang ini ada orang yang lebih gemar menuding jari atau
menyalahkan orang lain. Saling menyalahkan antara satu sama adalah sikap yang
sering berlaku dan kadangkala seseorang itu tidak melihat kepada kesilapan diri
sendiri. Malah, ada juga yang tidak bertanggungjawab terhadap tindakan yang
dilakukan. Ini adalah isu yang saya cuba mengadaptasikan menerusi lagu ini.

SIARAN MEDIA
“Proses penulisan lagu ini berjalan dengan sangat lancar, mungkin disebabkan kami
sudah perincikan mengenai kandungan apa yang dikehendaki. Jadi, proses
rakamannya juga tidak begitu lama dan senang bagi kami untuk memilih rentak yang
bersesuaian dan bagaimana cara untuk membuatkan lagu ini kedengaran lebih
menarik. Selain itu, orang disekeliling saya memberikan aura positif yang
membuatkan saya berasa sangat selesa di studio. Proses rakaman lagu ini
mengambil masa tiga hingga empat sesi.


Mendapat bantuan daripada Zizi Kirana dan Mambang dari segi melodi terutama pada
bahagian korus. Saya mengambil masa satu hingga dua minggu sebelum pergi ke
studio untuk rakamkan demo dahulu. Saya akan rakamkan demo itu di rumah sebelum
pergi ke studio untuk menyelesaikan sesi rakaman sebenar. Dari situ, kami lihat
bahagian mana yang lemah untuk ditambah baik terutama dari segi melodi dan lirik,”
katanya.


Sophia yang juga pernah muncul menerusi lagu Pedas nyanyian Wany Hasrita
berkata, proses rakaman lagu NAH juga sangat menyeronokkan termasuk ketika
menjayakan penggambaran video muzik.


“Proses rakaman muzik video pula hanya mengambil masa satu hari disebabkan
pengarahnya sudah tahu apa yang ingin dilakukan dan memudahkan segala gerak
kerja kami sebagai satu pasukan dan ianya mampu di selesaikan dalam tempoh yang
singkat.


Berkongsi lebih lanjut, Sophia mengakui turut berdepan cabaran ketika menghasilkan
lagu NAH.


“Untuk siapkan lagu dan muzik video tidak ada cabaran yang begitu berat. Mungkin
cabarannya dari segi masa untuk mengumpulkan semua yang terbabit dalam satu
masa. Selain itu, mencari ‘cameo’ untuk melakonkan watak yang dimahukan dalam
muzik video ini juga ada sedikit cabaran, namun semuanya berjalan lancar dan dapat
diselesaikan dengan baik.


“Sementara itu, konsep muzik video diketengahkan adalah mengenai isu semasa.
Kami ada cerita yang ingin disampaikan kepada orang ramai. Terdapat empat penari
kanak-kanak yang akan mewakili generasi muda. Ada juga ‘cameo’ yang akan terbabit
dalam babak isu semasa.

“Isu pertama adalah pergaduhan antara pasangan yang sering menyalahkan antara
satu sama lain. Senario kedua pula, memaparkan seorang penunggang agama
sedang menggunakan telefon bimbit untuk menonton perkara lucah dan seorang lagi
cuba untuk mengambil kesempatan ke atas seorang wanita,” katanya.
Berbekalkan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu NAH, Sophia berharap orang
ramai dapat menghargai lagu ini dan menyebarkan perkara positif yang terkandung
kepada orang ramai atau di mana-mana sahaja platform media sosial.
“Semoga dengan sokongan terhadap lagu ini dapat memberikan impak positif
terhadap industri muzik tanah air,” katanya.


Single NAH boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music,
KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 23 Jun 2023, muzik video juga ditayangkan
secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Def Jam Malaysia

 

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

Konsert Hitam Manis,Datuk Hattan, Hazama dan Black berpadu suara!