DOLLA KEMBALI DENGAN DAMELO
Baru sahaja memenangi Anugerah Kumpulan / Duo/ Kolaborasi
Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang ke-35, kumpulan nyanyian
wanita popular DOLLA sudah bersedia untuk projek yang baharu.
Anugerah Bintang Popular merupakan salah satu anugerah
industri hiburan Malaysia yang paling lama sejarahnya. Ia mengiktiraf tahap
populariti seseorang atau sesebuah kumpulan berdasarkan pilihan peminat. Ini
sekaligus membuktikan tahap populariti DOLLA yang memang diakui oleh para
peminat.
Dengan itu mereka kembali dengan karya terbaharu berjudul DAMELO.
Ditulis dalam Bahasa Sepanyol pada asalnya, lagu ini kemudian
diolah ke dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris oleh penyanyi rap wanita Sya dan
diterbitkan oleh bintang hiphop tersohor, SonaOne.
“Walaupun lagu ini ditulis dalam Bahasa Malaysia dan
Inggeris, kami masih kekalkan beberapa bahagian dalam Bahasa Sepanyol sebagai
penghormatan kepada penulis asal karya ini. Kami juga terpaksa belajar sedikit
sebutan Bahasa Sepanyol daripada SonaOne dan adiknya untuk memastikan lagu ini
disampaikan dengan betul.
Selain itu kami juga suka bereksperimentasi dengan perkara
baharu, malah kami juga mempunyai peminat dari Amerika Latin sekarang. Jadi
masanya memang sesuai,” ujar kumpulan DOLLA tentang projek baharu ini.
"Kami sangat gembira dengan keluaran terbaharu ini! Ia
satu kebanggan buat semua. Sebagai label yang mengembangkan sebuah kumpulan
A-pop wanita, memenuhi piawaian serantau dan dunia memerlukan usaha yang banyak
dari ekosistem keseluruhan termasuk dedikasi dari DOLLA dan pasukan Universal
Music sendiri. Hasil kerja ini terserlah dalam muzik, kerjasama jenama serta
pengumuman konsert yang akan diumumkan tak lama lagi,"ujar Kim Lim,
Pengarah Urusan, Universal Music Malaysia.
Turut gembira dengan projek ini adalah Hermond Cheng,
Pengarah, A&R dan Pemasaran serta Ketua
Def Jam Recordings Malaysia.
“Tahniah DOLLA! DAMELO adalah karya yang segar dan sesuai
zamannya. Saya bangga bersama anda dari mula dan segala kejayaan aneka platinum
yang pernah anda kecapi memang layak diterima. Saya tak sabar mengambil langkah
seterusnya bersama anda untuk menakluk pasaran Asia!” tambah Hermond.
Lagu yang mempunyai judul dalam Bahasa Sepanyol ini mempunyai
banyak makna buat empat gadis berbakat ini.
“Lagu ini tentang melakukan apa i sahaja untuk mencapai
sesuatu. Dan untuk melakukan semua ini, kami menggunakan kebolehan serta tenaga
kami sebagai wanita.
Jika anda dengar lagu ini dengan betul, ia sebenarnya lagu
kami yang paling feminin dan lantang bersuara mengenai pemerkasaan wanita”
tambah mereka.
Lagu yang mengambil masa beberapa sesi untuk disiapkan ini
juga hadir dengan sebuah video muzik menarik yang menampilkan visual sesuai
dengan album penuh mereka yang akan terbit tak lama lagi.
“Video muzik buat DAMELO
merupakan satu langkah besar buat kami. Ia menampilkan sisi lain kami yang
lebih matang. Ia menampilkan banyak unsur seperti padang pasir dan air dengan
beberapa babak tarian juga. Kami mahukan sesuatu yang baharu dan luar biasa
jadi kami cuba selitkan beberapa kejutan dalam video ini.
Kami berikan sepenuh kepercayaan kepada Pyqul dan Tessera
Productions untuk menghasilkan watak penjahat Sepanyol yang mereka berikan
dengan baik. Pasukan itu muda, segar dan berjaya hasilkan video yang sangat
hebat dan sesuai dengan lagu. Kami sangat gembira dengan video ini dan berharap
semua orang akan menyukainya juga,” jelas DOLLA tentang video muzik ini.
Namun, semuanya ada cabaran. Mereka terpaksa berhadapan dengan
beberapa isu semasa penggambaran video muzik.
“Kami terpaksa beraksi di padang pasir dan sebuah bengkel
yang sangat panas! Bayangkan kami terpaksa menari dan beraksi dengan lampu yang
banyak selama berjam-jam di bawah sinar matahari. Tepukan buat pasukan
penerbitan serta para penari kami yang mampu bertahan dengan kepanasan tika itu
dan masih kelihatan hebat dalam video.
Walaupun panas, ia mula hujan sewaktu kami merakam babak
bengkel dan gara-gara itu kami mengambil waktu lebih lama untuk menyiapkannya.
Tapi secara umum ia satu pengalaman yang hebat berkat perancangan yang baik
oleh pasukan penerbitan,” tambah mereka lagi.
DOLLA berharap DAMELO
akan membenarkan mereka mendekati lebih banyak pendengar serta peminat
antarabangsa.
“Kami tak pernah mencuba genre ini sepenuhnya dan berharap
karya ini akan mencapai pasaran baharu. Ia juga lagu yang bagus untuk dinikmati
di festival EDF. Harap semua akan menyukainya seperti kami,” ujar mereka
menutup bicara.
DAMELO sudah
berada di semua platform digital bermula 28 Julai manakala video muziknya boleh
ditonton di saluran YouTube rasmi DOLLA VEVO dari 4 Ogos.
Malah video muzik lirik lagu ini juga sudah memasuki carta
‘Trending’ laman YouTube Music dan berada di tangga yang ke-10.
Comments
Post a Comment