SYIF MALAM
Apabila bekerja syif, selalunya yang paling tidak digemari apabila tiba giliran syif malam. Lagi-
lagi pada yang sudah berkeluarga. Banyak dugaan yang dilalui tatkala terpaksa bekerja mencari
rezeki pada waktu orang lain sedang lena diulit mimpi.
Apatah lagi apabila berhadapan dengan gangguan yang menyeramkan dan menakutkan di
tempat kerja.
Ia memberi inspirasi kepada syarikat Empire Film Solution Sdn. Bhd dan Thinkerbell Studios
Sdn. Bhd untuk menghasilkan sebuah filem seram berjudul Syif Malam.
Penerbitnya, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, idea menerbitkan Syif Malam timbul
setelah menonton satu drama pendek yang tular di saluran YouTube Awanimbus beberapa
tahun lalu.
“Menerusi drama pendek berdurasi 14 minit itu, saya lihat konsep dan jalan ceritanya cukup
menarik dan menyeramkan, malah ia sudah ditonton sebanyak 1.6 juta penonton pada waktu
itu.
“Kemudian, timbul idea untuk dikembangkan pula menjadi sebuah filem, tambahan pula
genre seram cukup digemari penonton,” ujarnya.
Diarahkan oleh Fairus Anuar, Syif Malam menampilkan barisan pelakon seperti Taqim Zaki,
Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi,
Ismeth dan Mili Supina.
Zubir berkata, dia yakin filem yang berkisar tentang warga kerja syif malam diganggu perkara
mistik ini mampu menarik perhatian peminat filem bergenre seram.
“Tidak dinafikan pasti ada segelintir daripada kita yang pernah berhadapan dengan
pengalaman seram ketika bekerja waktu malam.
“Mungkin juga apa yang dipaparkan dalam filem ini sama seperti yang pernah dilalui oleh
mereka yang mengalami situasi tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, pengarahnya Fairus Anuar memberitahu Syif Malam adalah adaptasi daripada
drama pendek yang pernah dihasilkan olehnya bersama rakan-rakan dan mendapat maklum
balas positif dari penonton.
Jelasnya yang pertama kali mengarah filem, apa yang menarik tentang naskhah ini apabila ia
menggabungkan elemen ‘fiksyen seram’ (horror fiction) dan ‘komedi gelap’ (dark comedy) yang
sudah lama tidak disajikan dalam karya tempatan.
“Filem seram ini disampaikan dalam bentuk komedi gelap. Saya juga memasukkan elemen
realisme bagi menghidupkan jalan cerita di mana ianya memaparkan situasi pekerja yang
terpaksa melayan kerenah birokrasi di pejabat ditambah lagi gangguan mistik pada waktu
malam .”
“Mengekalkan konsep dan naratif yang sama dengan drama pendek terdahulu, cuma lokasi
dan cerita berbeza. Saya juga mengekalkan seorang pelakon dari drama pendek tersebut cuma
wataknya berbeza.” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terjadi sebarang kejadian seram sepanjang
penggambaran, Fairus menyatakan semuanya berjalan dengan lancar tanpa berlaku perkara
perkara yang tidak diingini.
“Alhamdulillah, dengan izin tuhan semuanya dipermudahkan. Tiada kejadian seram yang
berlaku sepanjang penggambaran di lokasi. Apa-apa pun saya lebih pentingkan keselamatan
semua orang dan tidak mahu mengambil risiko dengan memilih lokasi yang tidak selamat untuk
mengelakkan sebarang gangguan sehingga boleh menjejaskan waktu penggambaran,” jelasnya.
Pada masa sama dia berharap agar semua individu yang bekerja walau apa pun tugasan atau
bidang, terutama mereka yang bekerja syif, peminat- peminat filem seram dan peminat filem
tempatan serta semua lapisan masyarakat umumnya datang meluangkan masa menonton filem
ini.
Syif Malam akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 7 DISEMBER 2023.
Comments
Post a Comment