KONSERT A NIGHT TO REMEMBER KEMBALI DENGAN TEMA ROCK NOSTALGIA: MENAMPILKAN ELLA, KUGIRAN MASDO, DAN EXISTS


Konsert “A Night to Remember” bakal kembali untuk edisi kedua pada 14 Disember 2024 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor. Konsert ini akan membawa peminat mengimbau kembali ke era kegemilangan rock tanah air.
 
Menampilkan ratu rock legenda Malaysia Ella, Kugiran Masdo, dan Exists, konsert ini menjanjikan malam yang penuh nostalgia dengan persembahan yang mengagumkan.
 
Pada konsert "A Night to Remember", peminat berpeluang menyanyi dan menari bersama lagu-lagu rock kegemaran mereka, dan mengimbau kembali kenangan indah zaman dahulu. Lebih istimewa, peminat boleh berpakaian seperti artis kegemaran mereka dan menyertai pertandingan di media sosial untuk berpeluang memenangi hadiah menarik.
 
David Emir Bareng, Ketua Eksekutif Co:Action Events Sdn Bhd, selaku penganjur konsert ini berkongsi, “A Night to Remember telah menjadi acara yang dinanti-nantikan di mana konsert ini menampilkan barisan artis hebat tanah air kepada para peminat di Johor, Singapura, dan Kepulauan Riau, Indonesia.
 
“Kami sangat teruja dapat menghasilkan konsert ini bagi membolehkan peminat berinteraksi dengan artis ikonik yang pastinya akan menjadi malam yang tidak dapat dilupakan. Setinggi—tinggi penghargaan diucapkan kepada Tourism Johor, BestFM, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Damansara Assets Sdn Bhd untuk sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan konsert ini,” tambahnya.
 
Mengulas mengenai sokongan padu yang diberikan oleh pihak Tourism Johor, Pengarah Tourism Johor, Tuan Shahril Nizam Abdul Rahim berkata, "Konsert 'A Night to Remember' bukan sahaja memeriahkan industri hiburan, tetapi juga membantu mempromosikan Johor sebagai destinasi pilihan untuk acara-acara hiburan bertaraf antarabangsa. Kami bangga dapat menyokong inisiatif yang memperkukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab kebudayaan, kesenian dan pelancongan di rantau ini."
 
Ratu Rock Ella menyatakan keterujaannya untuk beraksi pada konsert yang akan datang, "Saya sangat gembira kerana dapat mengakhiri tahun ini dengan mencipta momen indah bersama peminat-peminat saya - Ella's Gang, terutamanya dari selatan tanah air. Ini akan menjadi kenangan yang indah untuk kita semua."
 
 
 
 
“Ia merupakan sebuah penghormatan untuk berkongsi pentas dengan dua legenda. Kami sangat teruja dapat mencipta memori indah bersama peminat kami dari Johor, Singapura dan Indonesia,” tambah Kugiran Masdo.
 
"Tema Rock Nostalgia benar-benar dekat dihati kami. Kembali ke Johor dimana segalanya bermula dan bersatu semula dengan peminat setia adalah sangat bermakna buat kami. Exists tidak sabar untuk beraksi dihadapan lebih daripada 4,000 pencinta muzik di konsert A Night to Remember 2024," kongsi Exists.
 
Tiket persembahan telah mula dijual di www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula serendah RM99 sehingga RM399.
 
Bersempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67, manfaatkan tawaran istimewa kami: nikmati diskaun sebanyak 6.7% untuk setiap pembelian tiket dari RM169 dan ke atas. Tawaran sah sehingga 31 Ogos 2024.
 
 
#TAMAT#
 
 
INFORMASI
 
Acara ​​​: A Night To Remember: Rock Nostalgia
Penganjur​​: Co:Action Events Sdn Bhd
Tarikh​​​: 14 Disember 2024, Sabtu
Tempat​​: Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor
 
Barisan Artis​: Ella, Kugiran Masdo dan Exists
 
Harga Tiket​: RM99 (Dinda: Tempat Duduk Dijana Sistem Dengan Pandangan     Terhad)
 ​RM169 (Gempak Zone:  Bebas Berdiri)
 ​RM229 (Jesnita: Tempat Duduk Dijana Sistem)
 ​RM299 (Pujaan: Tempat Duduk Dijana Sistem)
 ​RM399 (Permata Biru: Tempat Duduk Dijana Sistem)
 
Platfom Tiket​​: www.ticket2u.com.my

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM

Datin Alyah Duta TWOMEE