PEMENTASAN TEATER DI SEBALIK TOPENG KETENGAHKAN ISU KESIHATAN MENTAL

 Ogy Ventures & Network Sdn Bhd dengan bangganya mempersembahkan pementasan teater Di Sebalik Topeng, karya seni yang mengangkat
tema kesihatan mental dan penebusan diri.
Pementasan ini akan diadakan pada 19 dan 20 Oktober 2024, jam 8.30 malam, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP. Teater ini dibawakan dengan

kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta mendapat sokongan daripada geran
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Teater ini adalah terbitan syarikat miliknya Fauziah Dato’ Ahmad Daud, yang lebih
dikenali sebagai Ogy, seorang ikon seni tanah air yang tidak asing lagi dalam industri
hiburan Malaysia.

Teater ini diarahkan oleh pengarah berbakat Zainorhisyam Samudin yang terkenal
dengan karya-karya dramatik yang menyentuh hati dan memberikan impak mendalam
kepada penonton. Menurut Fauziah atau mesra disapa Ogy, teater ini merupakan satu refleksi tentang cabaran kehidupan yang sering dihadapi oleh ramai individu dalam masyarakat.
“Teater ini bukan sekadar hiburan, ia adalah satu wadah untuk kita merenung diri dan
memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup. “Setiap watak yang dipersembahkan dalam Di Sebalik Topeng melambangkan topeng-
topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” kata
Ogy. Teater Di Sebalik Topeng ini bakal membawa penonton menyelami kisah seorang wanita
yang bergelut dengan masalah kesihatan mental, yang mendapati dirinya terperangkap
dalam konflik emosi yang mendalam.
Melalui sesi terapi kumpulan, wanita ini tidak bersendirian, tetapi ditemani oleh
beberapa individu lain yang juga cuba melepaskan diri daripada trauma dan beban hidup
masing-masing.

Teater ini menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan untuk menyingkap
kisah setiap watak yang penuh dengan rahsia. Dalam terapi tersebut, topeng-topeng
yang dipakai oleh setiap individu mulai tertanggal, mendedahkan perasaan dan pengalaman yang telah lama terpendam. Penonton akan menyaksikan bagaimana watak-watak ini berusaha untuk menghadapi kebenaran hidup dan mengakui kesilapan yang telah mereka lakukan.
Tema kesihatan mental yang diketengahkan dalam pementasan ini adalah isu yang amat
relevan pada masa kini. Kesihatan mental sering kali dianggap tabu, tetapi melalui Di
Sebalik Topeng, penonton akan diingatkan tentang pentingnya untuk mencari bantuan
dan memahami bahawa kesakitan emosi adalah sebahagian daripada kehidupan yang
perlu diatasi, bukan disembunyikan.
Fauziah turut menekankan bahawa pementasan ini diharapkan dapat membuka mata
masyarakat terhadap kepentingan sokongan emosi.

“Saya ingin penonton merasakan bahawa mereka tidak bersendirian dalam apa yang
mereka hadapi. Setiap daripada kita, pada satu ketika, memakai topeng untuk
melindungi diri. Tetapi dalam mencari kedamaian, kita perlu belajar untuk membuka
topeng itu dan menerima diri kita yang sebenar,”jelas Ogy. Dalam pada itu, Pengarah Zainorhisyam Samudin turut menyatakan bahawa dia teruja untuk bekerja dalam projek ini kerana ia menawarkan dimensi baru dalam penceritaan
teater tempatan. “Ini adalah satu pementasan yang tidak hanya menghiburkan, tetapi juga mendidik.
Melalui watak-watak yang kelihatan rapuh, kita dapat melihat kekuatan yang luar biasa
dalam diri setiap individu untuk bangkit daripada kegelapan,” kata Zainorhisyam.

Pementasan teater ini juga menampilkan lakonan Ogy serta bantuan beberapa pelakon
lain seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard
Omar. Tidak hanya memberikan persembahan mantap, malah gabungan elemen-elemen
dramatik, konflik emosi, serta penyampaian lakonan yang penuh perasaan menjanjikan
pengalaman teater yang tidak mudah dilupakan.
Selain memberikan hiburan berkualiti, teater ini juga membuka ruang perbincangan
tentang isu-isu sosial yang sering kali dipinggirkan, terutamanya mengenai kesihatan
mental.

Penonton akan dibawa masuk ke dalam dunia watak-watak yang terjebak dalam masa
lalu, cuba melepaskan diri dari belenggu yang menyakitkan, dan mencari jalan menuju
penebusan.

Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104,
dan RM154, dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.

Comments

Popular posts from this blog

Mahu dengar 'tembakannya tepat'? Saksikan "Gegar Vaganza Bunda-Petik" .

KONSERT WINGS THE ROCK EMPEROR KUALA LUMPUR CHAPTER 16.12.2023 STD. MALAWATI SHAH ALAM